Menteri muda Sarawak: Dakwaan setinggan di Miri meningkat tak berasas

Menteri muda Sarawak: Dakwaan setinggan di Miri meningkat tak berasas

Datuk Lee Kim Shin berkata pada masa ini, setinggan di bandaraya Miri berjumlah lebih 1,000 orang dan bukanlah mencecah 4,000 seperti didakwa pembangkang.

Free Malaysia Today
Datuk Lee Kim Shin berkata pihaknya sama ada menempatkan semula setinggan ke kawasan baru atau wartakan tempat tinggal supaya mereka dapat tinggal di tanah secara sah. ( Gambar Borneo post)
MIRI:
Dakwaan pembangkang bandaraya Miri mempunyai jumlah tertinggi setinggan di Sarawak adalah palsu dan tidak berasas.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata pada masa ini, setinggan di Bandaraya Miri berjumlah lebih 1,000 orang dan bukanlah mencecah 4,000 seperti didakwa pembangkang.

“Kami sama ada menempatkan semula mereka (setinggan) ke kawasan baru atau mewartakan tempat tinggal mereka supaya mereka dapat tinggal di tanah berkenaan secara sah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Lee, yang juga penyandang kerusi DUN Senadin dan pengarah operasi kerusi parlimen Miri berkata, sebuah daripada kawasan penempatan semula setinggan itu ialah di Tudan.

“Kami berada di landasan betul untuk menyelesaikan masalah setinggan di Bandaraya Miri,” katanya dan menambah, kerajaan negeri sedang dalam proses menyelesaikan masalah setinggan di beberapa kawasan tertentu di bandaraya Miri.

Penyandang kerusi Parlimen Miri dari PKR Dr Michael Teo Yu Keng dalam siri kempennya mengetengahkan masalah setinggan di Bandaraya Miri dengan mendakwa terdapat 4,000 setinggan di bandar raya ini, iaitu jumlah tertinggi di Sarawak.

Beliau turut mendakwa selain bandaraya Miri, bandaraya Kuching dan Sibu juga menghadapi masalah setinggan tetapi tidak serius seperti bandaraya Miri.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Miri, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata memperjuangkan agar lebih banyak rumah mampu milik dibina akan menjadi keutamaan beliau sekiranya dipilih menjadi ahli parlimen kawasan itu.

Ting berkata permintaan bagi rumah mampu milik di bandaraya Miri adalah tinggi berikutan perkembangan kawasan pesat di samping peluang pekerjaan yang disediakan.

Bagi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei ini, Sarawak hanya mengadakan pilihan raya bagi 31 kerusi parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.