PKR Kelantan arah ahli rosakkan undi untuk protes SPR

PKR Kelantan arah ahli rosakkan undi untuk protes SPR

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata langkah itu juga bertujuan mengelakkan ahlinya mengundi BN dan PAS, selepas pencalonan parti itu di DUN Tawang dan Kuala Balah ditolak Sabtu lalu.

Free Malaysia Today
Ab Aziz (depan, tengah) berkata, PKR masih mempunyai wakil di Parlimen Jeli dan Bachok.
KOTA BHARU:
PKR Kelantan mengarahkan ahlinya mengambil sikap berkecuali atau merosakkan undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah dan Tawang pada 9 Mei ini sebagai membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan parti itu, Sabtu lalu.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata langkah itu juga bertujuan mengelakkan ahlinya mengundi parti lawan – Barisan Nasional dan PAS.

“Kita masih ada wakil kita di peringkat Parlimen Jeli bagi (DUN Kuala Balah) dan Parlimen Bachok (DUN Tawang) dan kita telah arahkan penyokong kita menyokong calon kita di kerusi Parlimen itu.

“Bagi kerusi DUN (kita tidak bertanding) kita kena berkecuali, undi rosak terpaksa buat begitu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Kelantan, hari ini.

Sabtu lalu, SPR menolak pencalonan wakil PKR di DUN Kuala Balah, Mohd Hafidz Rizal Amran atas alasan muflis, manakala calon PKR di DUN Tawang, Mohd Azihan Che Seman hilang kelayakan kerana alamat dalam kad pengenalannya bukan dalam kawasan DUN Kelantan itu.

PKR Kelantan akan bertanding di 2 kerusi Parlimen dan 7 DUN.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.