Thailand sahkan tangkap lelaki dikehendaki polis Malaysia

Thailand sahkan tangkap lelaki dikehendaki polis Malaysia

Penangkapan Awae Wae-ya yang dikaitkan dengan IS, dari daerah Cho Airong di selatan Thailand dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan hari ini.

BANGKOK:
Seorang lelaki Narathiwat, yang dikehendaki polis Malaysia kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas IS, ditangkap pihak berkuasa Thailand semalam.

Penangkapan Awae Wae-ya, 37, dari daerah Cho Airong di selatan Thailand dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan hari ini.

“Dia (Awae) sudah ditangkap dan pihak berkuasa Thailand sedang melakukan siasatan terhadapnya ketika ini,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat antara agensi keselamatan negara ini di rumah kerajaan di sana.

Prawit bagaimanapun tidak menyatakan di mana dan bilakah Awae ditangkap, tetapi lelaki itu dipercayai kini berada dalam tahanan pihak tentera di selatan Thailand.

Prawit yang juga menteri pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri berkata demikian apabila ditanya di manakah lelaki itu ditangkap susulan kenyataan dikeluarkan polis Malaysia bahawa Awae disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas itu.

Selain Awae, polis Malaysia juga sedang memburu 3 rakyat Malaysia dikenali sebagai Nor Farkhan Mohd Isa, 31, dari Skudai, Johor dan Muhamad Hanafi Yah, 51, serta Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 29, dari Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Kelantan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun dalam kenyataannya berkata, 4 lelaki itu “dianggap berbahaya.”

Menurut Prawit, berdasarkan maklumat dikumpul pihaknya, 2 daripada rakyat Malaysia itu tidak pernah berada di Thailand, manakala seorang lagi datang ke negara ini kira-kira 3 tahun lepas.

Diminta mengulas laporan tentang rancangan IS menubuhkan rangkaian operatifnya di selatan Thailand, Prawit berkata pihak berkuasa negara ini tidak bimbang kerana mereka telah berjaya menggagalkan rancangan itu.

Beliau berharap pihak berkuasa Malaysia akan menyalurkan maklumat tentang IS atau perkara lain berkaitan keselamatan kepada Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.