
Para pemimpin PSM berkata ia akan memberikan kerjasama penuh kerana berharap PH akan membentuk kerajaan akan datang.
“Kami tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN). Malah di peringkat nasional rakyat menuntut perubahan untuk mengubah kerajaan,” kata Ahli Jawatankuasa Pusat S Arutchelvan pada majlis pengisytiharan aset calon.
Beliau menambah partinya juga akan berkempen untuk calon PH.
Setiausaha Agung A Sivarajan berharap PH akan membalas sokongan itu dengan tidak memaksa pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi PSM.
“Kami menggesa PH tidak meletakkan calon di mana kami mempunyai peluang kemenangan yang kuat, kerana pertandingan 3 penjuru hanya akan membantu BN.”
Sivarajan berkata partinya melakukan banyak kerja lapangan di Cameron Highlands dan Sungai Siput berbanding PH dan BN.
“Kami tahu kami tidak boleh membentuk kerajaan sendiri, sebab itu kami memberitahu PH supaya mana-mana kerusi yang kami menang, ahli Parlimen dan Adun kami akan bekerjasama dengan mereka,” kata Sivarajan, selepas 16 calon mereka mengisytiharkan aset hari ini.
PSM sebelum ini mengumumkan ia akan meletakkan calon di 4 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Pahang.
Pada PRU lalu, Dr Michael Jeyakumar menang di Sungai Siput atas tiket PKR, memberikan peluang kepada beliau menjadi satu-satunya wakil PSM di Parlimen.
Jeyakumar berkata PH tidak pernah berunding dengan PSM mengenai kerusi.
“Jadi, di mana kami bertanding kami akan dianggap ‘perosak’, sebenarnya kami meminta rundingan kerusi sejak 2 tahun lalu. Kami tidak suka pertandingan 3 penjuru tetapi untuk menyalahkan kami adalah tidak adil.
“Kami menunggu respon mereka dan mereka tidak pernah melakukan apa-apa, kami tidak mempunyai masa untuk menunggu lagi. Kami akan meneruskan dengan kerusi yang kami umumkan,” kata wakil rakyat 2 penggal itu.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14