Raja Bomoh mahu bertanding di Bagan Datuk

Raja Bomoh mahu bertanding di Bagan Datuk

Beliau berkata keputusan memilih kerusi Parlimen itu sebagai calon bebas kerana kenalan ramai di sana terutamanya anak-anak murid silatnya yang meminta beliau bertanding.

IPOH:
“Raja Bomoh” atau nama sebenar Ibrahim Mat Zin mahu bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ibrahim, 68, mengumumkan hasratnya bertanding merebut kerusi itu, yang disandang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media hari ini.

Pengasas dan Presiden Persatuan Seni Silat Gayong Ghaib Malaysia (PSSGGM) itu berkata beliau membuat keputusan memilih kerusi Parlimen berkenaan kerana mempunyai kenalan ramai di sana terutamanya anak-anak murid silatnya yang meminta beliau bertanding.

Beliau turut berjanji menyerahkan kesemua gaji bulanannya sebagai ahli Parlimen bagi membantu penduduk di Bagan Datuk sekiranya memenangi kerusi itu pada PRU14 nanti.

Sebelum ini, Ibrahim pernah beberapa kali mengejutkan orang ramai dengan ritual bersama-sama pengikutnya seperti membawa buluh kecil sebagai teropong, 2 biji kelapa dan 5 meriam buluh di beberapa lokasi bagi beberapa tujuan termasuk “melindungi” Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara.

Pada 25 April tahun lalu, Ibrahim mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas pertuduhan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syarikah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Sementara itu, pada majlis sama, seorang lagi calon bebas, Leman Kanaullah, 55, yang merupakan timbalan presiden PSSGGM turut mengumumkan hasrat beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei, penamaan calon pada 28 April dan 5 Mei pengundian awal.

Pada PRU13, Barisan Nasional menang 31 daripada 59 kerusi DUN Perak, DAP 18 kerusi manakala PKR dan PAS masing-masing 5 kerusi.

Setakat ini, PKR akan bertanding di 5 kerusi Parlimen dan 14 DUN manakala Amanah Perak bakal bertanding di 4 kerusi Parlimen dan 12 DUN pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.