Jamal tak mahu jadi calon, tetapi akan bantu BN tawan Selangor

Jamal tak mahu jadi calon, tetapi akan bantu BN tawan Selangor

Jamal Yunos mendakwa Umno mahu mencalonkan beliau di kawasannya, Sungai Besar.

Free Malaysia Today
Jamal Yunos (baju biru muda) bercakap kepada wartawan selepas membuat laporan mengenai kewujudan satu akaun Facebook palsu menggunakan nama ‘Dato Jamal yunus’ di Balai Polis Daerah Ampang Jaya, hari ini.
AMPANG:
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos tidak mahu bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), walaupun mendakwa parti akan mencalonkannya.

“Bukan saya tidak dicalonkan, sepatutnya memang ada kerusi untuk saya di kawasan saya dan ada satu lagi kerusi di kawasan yang lain.

“Tetapi, saya memilih untuk tidak bertanding kerana kenyataan saya sebelum ini konsisten, tidak akan bertanding cuma akan memberikan segala usaha, tenaga untuk membantu rakan-rakan lain pastikan PRU14 ini Selangor kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN),” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Daerah Ampang Jaya, hari ini.

Jamal tidak menolak pengumuman calon BN akan dilakukan minggu depan.

“100% calon di Selangor telah dimuktamadkan. Dengar-dengar pengumuman rasminya minggu depan. Watikah akan dikeluarkan.”

Terdapat 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dan sesebuah parti politik itu hanya memerlukan majoriti mudah, iaitu 29 kerusi untuk mentadbir negeri itu.

Pada PRU13l, PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15), PAS (15) dan Barisan Nasional (12) pada PRU13. Jumlah kerusi PKR dan DAP berkurangan satu apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti, manakala kerusi PAS menjadi 13 apabila 2 adunnya menyertai Amanah.

Pada 19 Mac lalu, Jamal dilaporkan sedia bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, selepas mendapat sokongan kepimpinan Umno bahagian untuk berganding bahu dengan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi bagi mengekalkan 2 kerusi dimenangi BN.

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini dilaporkan menolak tawaran bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Terdahulu, Jamal membuat laporan polis berhubung kewujudan satu akaun Facebook palsu menggunakan nama “Dato Jamal yunus” dan memuat naik catatan menghina kaum India dengan gelaran “keling”.

“Kenyataan tersebut dilihat bertujuan memecahbelahkan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Ini satu berita palsu untuk menghasut rakyat dan pengundi membenci pemimpin BN serta kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.