
“Ramai bertanya sama ada saya terima tawaran bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
“Jawapan saya ialah TIDAK, walaupun Bandar Tun Razak merupakan kerusi yang boleh dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan mengalahkan PKR,” katanya dalm akaun Twitternya hari ini.
Ia di sebalik spekulasi yang memetik sumber Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengatakan Shahrizat mungkin dicalonkan untuk kerusi Bandar Tun Razak.
Shahrizat berkata, namanya “sudah hampir pasti” diterima oleh kepimpinan tertinggi dan watikah pencalonan kemungkinan besar dikeluarkan minggu ini.
Sumber MT sebelum ini berkata ada sedikit-sebanyak keraguan berhubung kemungkinan Shahrizat bertanding di kawasan majoriti Melayu kerana perkaitan beliau dengan isu National Feedlot Corporation (NFC).
“Ada yang bimbang tentang isu NFC yang boleh digunakan pihak pembangkang untuk menyerang beliau.
“Tetapi, namanya telah dibersihkan (daripada isu NFC). Kita harapkan yang terbaik kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membersihkan namanya daripada penglibatan dalam kontrak dan pinjaman NFC berjumlah RM250 juta itu,” katanya.
Suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail merupakan pengerusi NFC, sementara anak beliau pengarahnya.
Pembangkang mendakwa firma dana awam itu menggunakan pinjaman mudah kerajaan untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan penternakan lembu, termasuk membeli unit kondominium mewah di Bangsar dan Singapura serta tanah di Putrajaya.
Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno Kepong, kalah di bekas kubu kuatnya di Lembah Pantai pada 2008 di tangan Nurul Izzah Anwar dari PKR.
Kerusi Bandar Tun Razak secara tradisinya ditandingi oleh MCA. Awal tahun ini, Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar memberitahu FMT, beliau berharap kerusi itu diberikan kepada Umno.
Pada 2008, Tan Sri Khalid Ibrahim mengalahkan calon BN dari MCA di kerusi ini. Pada 2013, Khalid sekali lagi menang dengan majoriti besar 11,832 undi. Bekas menteri besar Selangor itu kini tidak menganggotai mana-mana parti politik.