
Mereka mengambil keputusan itu kerana kecewa dengan pemilihan Datuk Phahrolazi Mohd Zawawi, timbalan pengerusi Amanah Kedah sebagai calon kawasan itu.
Ketua PDM Alor Melintang, Muhamad Rizal Zainol Abidin yang mewakil 15 PDM terbabit berkata sehubungan itu, kesemua mereka mengambil keputusan untuk menyertai Umno, juga berkuat kuasa serta-merta.
“Kami merasa dikhianati setelah bertungkus-lumus menyiapkan jentera, merekrut simpati kepada Pakatan Harapan (PH), tiba-tiba suara majoriti kami agar kerusi Alor Mengkudu diberikan pada calon PPBM dinafikan.
“Sebaliknya, pencalonan bagi kerusi ini diserahkan pada calon Amanah yang jelas tidak dikenali dan gagal memberikan khidmat selama ini kepada pengundi DUN Alor Mengkudu,” katanya kepada pemberita dalam majlis kenduri rakyat yang dihadiri ribuan anggota parti itu dan 14 lagi ketua PDM.
Dalam ceramah perdana di situ sebelum itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan nama 13 calon meliputi 3 kerusi Parlimen dan 10 DUN yang akan bertanding di Kedah, satu daripadanya ialah Phahrolazi bertanding di DUN Alor Mengkudu.
Muhammad Rizal berkata, taktik tersebut jelas helah politik sedangkan perkara berkaitan agihan kerusi telah pun dipersetujui dalam PH sebelum ini.
“Ini merupakan helah politik yang menjengkelkan dan tidak berprinsipkan keadilan dengan mengetepikan sumbangan PPBM yang bekerja keras selama ini di DUN Alor Mengkudu,” katanya.
Melalui pengumuman itu, Muhammad Rizal berkata kesemua 15 PDM dan gerak kerja di DUN tersebut akan dibubarkan dan mereka berikrar menumpukan seluruh usaha mendukung kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah.
“Kami juga akan berikrar berkempen dengan penuh upaya untuk memenangkan mana-mana calon yang diketengahkan oleh BN Kedah di Alor Mengkudu.
“Menerusi cara ini juga ia menjadi pengajaran kepada pimpinan gabungan Pakatam Harapan agar tidak mengamalkan politik kepentingan kendiri dengan sanggup membelakangkan janji dan semangat setiakawan yang sebelum ini telah diikrarkan,” katanya.