Rafidah diminta tanya Muhyiddin kenapa pertahan Najib urus dana parti

Rafidah diminta tanya Muhyiddin kenapa pertahan Najib urus dana parti

BN merujuk kepada rakaman audio di mana presiden PPBM dikatakan berkata tidak pernah persoal 'dana khas' Umno diurus oleh presiden parti.

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mendesak bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz supaya bertanya presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan rakaman audio yang dikatakan beliau mempertahankan dana parti diletakkan bawah presiden Umno.

Menjawab serangan terbaru Rafidah terhadap Umno berkaitan wang berjumlah lebih RM2 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2015, BN berkata, bekas ketua wanita Umno itu patut bertanya Muhyiddin tentang kenyataan tersebut, yang dipercayai dibuat semasa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 9 September 2015.

“Sila tanya Muhyiddin apakah yang dimaksudkannya apabila berkata beliau sedar tentang adanya konspirasi dalaman untuk menjatuhkan Najib pada waktu itu, dan kenapa beliau berkata tidak ada masalah dengan dana khas presiden Umno itu yang katanya amalan Umno sejak dulu lagi,” kata Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To.

“Saya pasti Muhyiddin akan mengesahkan kepada Rafidah apa yang beliau sendiri tahu bahawa menjadi amalan Umno presiden memegang dana bagi pihak parti,” katanya.

Dalam rakaman audio yang dinaikkan ke Youtube pada Mac 2016, Muhyiddin kedengaran berkata beliau tiada isu dengan Najib mengurus dana parti.

“Saya tidak pernah bertanya. Saya menjadi timbalan presiden sejak 2009. Saya tidak pernah bertanya tentang dana khas kerana saya tahu dana khas diurus oleh presiden sendiri,” kata Muhyiddin dalam rakaman berkenaan, beberapa bulan sebelum dipecat dari Umno.

Muhyiddin dilucutkan jawatan timbalan perdana menteri pada Julai 2015 dan dipecat sebagai timbalan presiden Umno pada Jun 2016.

Ini berikutan pertelagahannya dengan Najib berhubung wang berjumlah M2.6 bilion (berdasarkan kadar tukaran pada 2015) yang dimasukkan ke akaun bank peribadi presiden Umno itu.

Najib berkata, wang itu derma daripada Arab Saudi untuk kempen pilihan raya Umno pada 2013 dan menafikan laporan mendakwa ia berkaitan dengan 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.