
“Saya tak ada fakta yang mencukupi untuk ulas kisah prebet Adam dan kes pun sudah selesai.
“Kalau mahu bercakap kita perlukan alasan yang kukuh…ia menimbulkan banyak spekulasi…dan saya fikir masanya tidak begitu sesuai untuk keluarkan perkara yang sebegini,” katanya selepas menyertai program Fit Masjid Fun Ride di Masjid Sultan Yusuf Izzudin Shah di Seri Iskandar hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam berhubung kenyataan keluarga Adam melalui adiknya, Hawa Jaafar, 53, yang berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menahan individu yang berterusan menyampaikan perkara tidak benar mengenai isu berkenaan.
Fuzi berkata individu yang layak mengulas kejadian itu adalah ketua polis negara ketika itu, Tun Hanif Omar.
“Saya minta maaf kepada media kerana tidak dapat mengulas isu ini,” katanya.
Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987, pernah menggemparkan negara dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.
Adam yang berusia 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.
Isu mengenai kejadian Adam mengamuk kembali mendapat perhatian ramai pihak selepas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadi dan mengkritik “individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri”.
Semalam, adik perempuan Adam, Hawa Jaafar, 53, memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden amukan abangnya dan menyatakan abangnya mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor.