
Timbalan Presiden SAPP Melanie Chia berkata janji BN mengenai MA63 akan mengalami nasib yang sama seperti hasil Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang masalah pendatang haram di Sabah.
Ia mungkin sekali akan terperangkap dalam birokrasi, katanya.
“Selepas hampir 7 tahun termasuk beberapa pendengaran dan menyiapkan laporan, hasil daripada semua itu ialah penubuhan 2 jawatankuasa,” kata Chia, bekas pembantu menteri kewangan negeri.
Semalam, pemimpin Umno Sabah Datuk Seri Anifah Aman berkata pemulihan hak-hak Sabah dan Sarawak memerlukan konsensus kerajaan persekutuan kerana perjanjian itu bukan hanya melibatkan Sabah dan Sarawak.
Beliau membidas parti-parti pembangkang kerana tidak memahami maksud “konsensus”.
Manifesto Barisan Nasional untuk Sabah mengisytiharkan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 akan direalisasikan secara konsensus.
Chia berkata janji BN akan menjadi buntu kerana birokrasi sepertimana saranan RCI tentang pendatang haram.
“Ternyata BN, terutama para pemimpin gabungan itu, menggunakan tipu daya dalam hal memulihkan hak Sabah dan Sarawak dengan menekankan perkataan ‘konsensus’ dalam manifesto mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Mengapa perlukan perkataan itu sedangkan ia bukannya perjanjian baharu? MA63 dicapai secara konsensus lebih 55 tahun dulu.
“Mengatakan pemulihan hak kita hanya akan dilakukan secara konsensus bermakna mereka mempunyai kuasa veto untuk menghentikannya jika rasa terancam,” kata Chia.
Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong semalam berkata pemimpin BN menunjukkan pemikiran sebenar mereka tentang pemulihan hak Sabah dan Sarawak apabila menggunakan perkaraan “konsensus”.
Beliau berkata pemimpin BN tidak benar-benar berniat untuk membenarkan Sabah dan Sarawak mendapatkan semula hak masing-masing seperti yang diperuntukkan dalam MA63.