
Mereka antara 15,000 pemandu teksi di majlis bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang tadi, yang mengumumkan bantuan bahan api bernilai RM800 dan kelulusan BR1M automatik.
Kejadian berlaku di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang apabila 15,000 pemandu beratur untuk mengambil kad bantuan mereka.
“Insiden yang tidak diingini ini telah berlaku akibat segelintir para hadirin yang tidak mematuhi langkah-langkah pengurusan kawalan sistematik yang disediakan apabila mereka masuk ke dewan pengambilan kad,” kata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam kenyataan.
Video kejadian yang tersebar di media sosial menunjukkan selonggok pemandu teksi saling timpa-menimpa dan terperangkap hingga perlu dibebaskan oleh pasukan keselamatan.
Menurut SPAD, sebanyak 60 kaunter pengurusan pendaftaran dan sistem beratur untuk pengambilan kad disediakan untuk melancarkan urusan.
Kejadian kembali terkawal pada 7.00 malam tadi selepas anggota SPAD, polis dan Rela mengambil tindakan kawalan serta-merta.
“Pemandu-pemandu yang terlibat telah menerima rawatan serta-merta, manakala seorang lagi individu telah mengalami kecederaan dan terpaksa dibawa ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya,” kata suruhanjaya itu lagi.
Kos perubatan ditanggung oleh SPAD.
SPAD berkata para pemandu di Malaysia Barat yang belum menerima kad tersebut boleh mendapatkannya di pejabat SPAD mulai 16 April hingga 16 Julai.
Manakala pemandu di Malaysia Timur boleh mendapatkan kad itu daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan di Kota Kinabalu dan Kuching pada tarikh yang akan diumumkan nanti.