Selepas TMJ belanja besar, pasar raya Aeon tutup

Selepas TMJ belanja besar, pasar raya Aeon tutup

Aeon berkata langkah mengejut itu supaya barangan dan stok dapat dipenuhkan selepas dipercayai dikosongkan susulan 'belanja besar' diumumkan TMJ.

Free Malaysia Today
Orang ramai bersorak gembira selepas diberikan wang RM3,000 setiap seorang untuk membeli barangan keperluan. (Gambar Facebook JDT)
JOHOR BAHRU:
Pasar raya Aeon di Bandar Tebrau terpaksa ditutup, sehari selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menghadiahkan pengunjung di situ RM3,000 setiap seorang bagi membeli belah barangan keperluan.

“Seksyen pasar raya (di Bandar Tebrau, Johor) ditutup pagi ini sehingga notis selanjutnya.

“Kami mohon maaf atas segala kesulitan,” umum pasar raya itu di Facebook mereka.

Seorang jurucakap Aeon ketika dihubungi berkata langkah itu diambil susulan kehabisan stok barang.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada ia ada kaitan dengan pembelian secara besar-besaran oleh pengunjung semala.

“Kami sedang menambah semula stok untuk bersiap sedia memberikan khidmat kepada pelanggan sekali lagi,” katanya kepada FMT.

Gambar troli diisi penuh dan dibiarkan terbengkalai di kaunter bayaran pasar raya tular di media hari ini.

Aeon bagaimanapun enggan mengesahkan gambar tersebut, sambil berkata ia sedang menyiasat.

Semalam, TMJ membuat kejutan di pasar raya itu, apabila tampil secara spontan beramah mesra dengan pelanggan, sambil mengumumkan akan menanggung semua perbelanjaan mereka.

TMJ dilaporkan berbelanja RM3,000 untuk setiap seorang pelanggan.

“Saya bukan ahli politik. Saya tidak memerlukan undi. Tetapi saya ikhlas menyayangi rakyat saya. Sentiasa bersama anda Bangsa Johor,” kata TMJ dalam muat naik di Facebook bersama gambar beliau mengumumkan “durian runtuh” kepada orang awam.

Ia beberapa hari selepas kenyataannya yang menasihatkan pengundi Johor supaya berhati-hati dengan pembangkang yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

TMJ belanja pelanggan pusat beli belah RM3,000 seorang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.