PKR belum putuskan kedudukan Adun Paya Jaras

PKR belum putuskan kedudukan Adun Paya Jaras

Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali berkata pihaknya belum memutuskan sama ada Khairuddin Othman akan dicadangkan untuk bertanding di kerusi itu.

SHAH ALAM:
PKR Selangor masih belum memutuskan sama ada Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman, yang melompat dari PAS ke parti itu baru-baru ini, akan dicadangkan untuk sekali lagi bertanding kerusi itu.

“Ya, dia ahli PKR tapi itu belum diputuskan,” kata Pengerusi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semalam, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim berkata Paya Jaras akan diberikan kepada calon Amanah, namun PKR boleh mencadangkan calon yang dirasakan sesuai untuk pertimbangan partinya.

“Tidak bermakna kamu keluar PAS dan masuk PKR pada saat akhir melayakkan kamu bertanding mana-mana kerusi. Bukan begitu syaratnya. Syarat ialah calon terbaik dan kita akan lihat semua sudut,” kata Izham.

Beberapa minggu lagi menuju pilihan raya umum ke-14, Khairuddin menyertai PKR Ahad lalu, langkah yang menurut PAS Selangor boleh mencetuskan konflik antara PKR, yang mahukan kelebihan kerusi yang lebih besar, dan Amanah, yang mahukan kerusi-kerusi PAS di Selangor.

Khairuddin sendiri berkata beliau meninggalkan PAS dan menyertai PKR kerana berpuas hati dengan kepimpinan Azmin, yang juga menteri besar Selangor dalam penggal ini.

Khairuddin sebelum ini digugurkan sebagai setiausaha PAS Selangor dan tidak dsenaraikan sebagai calon PAS pada PRU14, dipercayai kerana kemesraannya dengan Pakatan Harapan.

Beliau memenangi Paya Jaras mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dengan majoriti selesa 5,522 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.