8 sebab kenapa Najib akan menang PRU14

8 sebab kenapa Najib akan menang PRU14

Perdana menteri akan terus mendapat manfaat daripada keraguan pengundi terhadap pengerusi PH, Tun Dr Mahathir, persempadanan semula kawasan pilihan raya dan undi pecah kerana PAS

Free Malaysia Today
Datuk Seri Najib Razak dijangka akan menang di sebalik faktor politik dan ekonomi, di samping beberapa masalah dalaman pembangkang.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) pimpinannya mungkin berjaya mengetepikan kesan skandal bernilai berbilion dolar AS, kekecewaan umum akibat kenaikan kos hidup dan cabaran daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei depan.

Berikut adalah 8 sebabnya:

Tidak perlu menang undi popular

BN pimpinan Najib tidak memenangi undi popular pada pilihan raya 2013 lepas – ia mendapat 47.3% sokongan – tetapi berdasarkan sistem parlimen “first-past-the-post” yang digunakan dan cara bagaimana sempadan kawasan pilihan raya ditentukan, ia masih memenangi kerusi majoriti di Parlimen.

Perubahan sempadan kawasan pilihan raya

Pada akhir Mac lepas, Parlimen bersetuju meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) walaupun menghadapi tuduhan “gerrymandering” oleh pembangkang.

Persempadanan semula itu, yang berkuatkuasa pada PRU kali ini, memperkuatkan sistem sedia ada yang memberi kelebihan kepada Umno pimpinan Najib, kerana ia mendapat sokongan lebih kuat dari kawasan luar bandar.

30% penduduk yang tinggal di luar bandar menguasai lebih separuh kerusi Parlimen.

Keraguan pembangkang terhadap Dr Mahathir

Pembangkang bersusah-payah mahu memperlihatkan perpaduan. Dr Mahathir, 93, sedikit sebanyak berjaya mewujudkan kesatuan itu dalam Pakatan Harapan (PH), tetapi ramai dalam kalangan penyokong pembangkang meragui beliau kerana serangannya ke atas institusi bebas negara sewaktu pemerintahannya dari 1981 ke 2003.

Juga kerana pesaing Najib yang boleh dianggap paling kuat, bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini menjalani hukuman penjara 5 tahun atas sabitan tuduhan liwat. Hukuman yang dilihat kumpulan hak asasi sebagai bermotif politik.

Anwar merupakan tokoh utama pembangkang dalam PRU 2008 dan 2013.

Beliau menerima penyertaan Dr Mahathir dalam pakatan pembangkang, tetapi hukuman yang dijalaninya menyebabkan pembangkang kehilangan pemimpin dan jurucakapnya yang penting. Anwar dijangka bebas selepas PRU ini.

PAS boleh memecahkan undi

PAS yang sebelum ini merupakan komponen pakatan pembangkang, kini bersendirian dan bakal bertanding di lebih banyak kerusi dalam PRU14.

Ini bermakna undi pembangkang akan pecah dan memberi peluang Najib muncul sebagai pemenang.

Undang-undang anti-berita palsu

Minggu lepas kerajaan Najib meluluskan undang-undang anti-berita palsu yang boleh digunakan terhadap pembangkang semasa tempoh berkempen.

Ia menakrifkan “berita palsu” sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sepenuh atau sebahagiannya palsu, sama ada dalam bentuk tulisan, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain yang boleh menyampaikan kata-kata atau idea”.

Hukuman maksimum bagi sabitan di bawah undang-undang ini ialah denda RM500,000 atau penjara 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kerajaan telah sedia mengawal media tempatan melalui penggunaan pelbagai undang-undang, termasuk Akta Hasutan yang diwarisi dari zaman kolonial.

Ekonomi yang baik

Ekonomi Malaysia berada dalam keadaan pertumbuhan yang berterusan.

Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengeluarkan laporan menjangka ekonomi akan berkembang sebanyak 5.5 ke 6% pada 2018 berbanding ramalan awal sebanyak 5 ke 5.5% seperti direkodkan dalam Belanjawan kerajaan yang dibentangkan pada Oktober tahun lepas.

Malaysia kini menikmati pertumbuhan eksport, sementara perbelanjaan awam dan infrastruktur memberi kesan tambahan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mencecah angka 5.9% pada 2017 – angka terbaik dalam tempoh 3 tahun.

Politik naungan dan wang

Umno melaksanakan dasar afirmatif bagi orang Melayu yang memberi mereka peluang mendapat kontrak kerajaan, rumah lebih murah, jaminan kemasukan ke universiti dan kemudahan pembelian saham sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan.

Minggu lepas, Najib menjanjikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam yang merupakan asas penting sokongan beliau.

Janji pilihan raya

Parti pemerintah menawarkan pelbagai janji bagi menarik sokongan pengundi tradisinya, termasuk meningkatkan gaji minimum dan tambahan bantuan tunai kepada pengundi Melayu luar bandar.

Najib juga menjanjikan penghapusan hutang peneroka Felda dan penciptaan 3 juta pekerjaan baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.