Rafidah diminta jangan guna nama Allah, cermin diri

Rafidah diminta jangan guna nama Allah, cermin diri

Irmohizam Ibrahim berkata bekas menteri perdagangan antarabangsa itu sendiri belum tentu bersih kerana masih tidak menjawab isu AP.

PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno mempersoalkan tindakan Tan Sri Rafidah Aziz menggunakan nama Allah dalam mempertahankan dakwaannya mengenai penjualan beribu-ribu hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dan tentera, sambil mengingatkan bekas menteri itu mengenai kontroversi berhubung pemberian “AP” pada 2005.

“Saya mahu mengingatkan Tan Sri supaya tidak begitu mudah menggunakan nama Allah sekiranya diri sendiri belum tentu bersih,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Irmohizam Ibrahim, merujuk beberapa kenyataan Rafidah.

Semalam, Rafidah sambil bersumpah menyebut lafaz “wallahi, wallahi, wallahi” berkata beliau bercakap benar dalam tuduhannya bahawa semua tanah milik tentera telah diswastakan dan dipajakkan selama 40 tahun kepada syarikat milik individu.

Ia selepas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan Rafidah, sambil menyifatkannya “pembohongan nyata”.

Irmohizam berkata Rafidah tidak layak membuat tuduhan itu sedangkan beliau belum membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung pemberian permit AP untuk mengimport kenderaan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kementerian itu diketuai Rafidah di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Malangnya, Tan Sri Rafidah berdiam diri dalam isu berkenaan sepanjang tempoh jawatannya, dan keraguan tentang penerima permit yang dikaitkan dengan dirinya itu tidak pernah dijawab sehingga kini,” kata Imhorizam.

Rafidah dalam “surat terbuka” kepada Najib melalui Facebook antara lain berkata kira-kira 40,000 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dan tentera diswastakan tanpa tender terbuka, di bawah rancangan yang dibentangkan Najib pada 2008 selaku menteri pertahanan ketika itu.

Demi Allah, setiap inci tanah tentera diswastakan, kata Rafidah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.