
Beliau berkata, ketika itu seluruh bahagian Umno Sabah sentiasa memberi laluan dan sokongan penuh kepada Shafie untuk terus berada kukuh dalam antara barisan kepimpinan tertinggi parti dan menjadi calon tunggal dari Sabah memegang jawatan naib presiden.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga memberi kepercayaan kepadanya memegang portfolio timbalan menteri seterusnya menteri kanan di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, Shafie, yang kini presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), tidak pernah menghargai mahupun berterima kasih kepada kepimpinan Umno dan ahli parti itu yang selama ini menyokong beliau, sebaliknya menderhaka kepada pucuk pimpinan dan memburuk-burukkan parti.
Musa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna yang dirasmikan perdana menteri hari ini.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban yang juga Ketua Penerangan Umno Semporna, Pemangku Ketua Bahagian Umno Semporna Datuk Nasir Tun Sakaran, menteri Kabinet negeri dan pemimpin masyarakat Semporna.
Pada majlis yang berlangsung di Dataran Regatta Lepa, Najib turut mengisytiharkan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil dan menyerahkan geran tanah anak negeri kepada 1,000 penerima.
Mengulas lanjut, Musa berkata ketika Mohd Shafie menyandang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, beliau tidak pernah berjumpa dengannya untuk membincangkan perkara berhubung aspek pembangunan diperlukan di Sabah.
“Kita sama-sama orang Sabah. Apa salahnya datang (berjumpa) dan (berbincang) bangunkan Sabah. Ini saya harap tetapi tiada. Pintu saya sentiasa terbuka, apatah lagi (ketika itu Shafie) naib presiden Umno dan menteri pusat. Jawatan tidak penting, yang penting kita berhubungan baik dan boleh berunding,” katanya.
Musa juga berkata bekas ketua bahagian Umno Semporna itu tidak dipecat atau dibuang daripada parti sebaliknya hanya dikenakan tindakan tatatertib atas kesalahan disiplin dilakukannya terhadap parti.
“Tetapi dia (Shafie) keluar Umno,” katanya.
Dalam pada itu, Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah turut mengingatkan seluruh ahli parti iaitu kesetiaan dan keikhlasan penting demi kelangsungan perjuangan parti.
Beliau juga percaya rakyat Semporna akan tetap bersama Umno dan BN, memberi sokongan penuh kepada parti itu pada pilihan raya umum akan datang kerana rakyat Semporna sememangnya dikenali sebagai rakyat pandai menilai dan mengenang budi.