SPR: Jika pilih PKR, PH hanya boleh guna logo mata berkempen

SPR: Jika pilih PKR, PH hanya boleh guna logo mata berkempen

Hashim Abdullah berkata, SPR belum menerima notis rasmi daripada PH berhubung penggunaan logo PKR.

PUTRAJAYA:
Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan bertanding atas tiket PKR, hanya boleh menggunakan logo parti itu untuk berkempen sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bukannya simbol DAP, Amanah dan PPBM sebagai bahan kempen, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, status pendaftaran atau simbol PH yang tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan logonya yang masih tidak berdaftar dengan SPR, tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen PRU14.

“Kalau dia (PH) bertanding atas nama PKR, maka (mereka hanya boleh menggunakan logo) PKR lah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR hari ini.

Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan semua calon PH, termasuk DAP, Amanah dan PPBM akan bertanding di bawah lambang PKR pada PRU14.

Hashim enggan mengulas lanjut berhubung keputusan PH menggunakan logo PKR.

“Kita jawab kemudian, nanti bila sampai masanya hendak bertanding. Saya hendak minta maaf sebab tidak ada lagi pengesahan dari parti berkenaan, ini cuma dia bercakap.

“Esok dia boleh cakap lain, tetapi saya pula sudah berikan komen pada hari ini. Nanti komen saya tidak kena, jadi macam main badminton,” katanya merujuk pemilihan logo oleh PH.

Hashimberkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap parti yang tidak bertanding pada PRU14, tetapi mengibarkan bendera mereka di sesebuah kawasan.

“Apabila kita tahu siapa bertanding, calon mana, parti politik mana bertanding, barulah kita mengambil tindakan ke atas mana-mana parti politik yang tidak bertanding dalam kawasan itu.

“Katalah di Putrajaya, bertanding cuma 3 parti, iaitu parti A, parti B dan parti C. Cuma parti A, B, C sahaja yang kita benarkan pasang bendera dan kain rentang di Putrajaya.

“Tetapi, mana-mana parti yang tidak bertanding dalam kawasan ini, kita tidak benarkan. Tidak kira dia parti kerajaan ke bukan parti kerajaan,” katanya.

Lambang ‘mata Anwar’ jadi pilihan PH pada PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.