Simbol roket: DAP rancang jelajah seluruh negara, tenangkan ahli

Simbol roket: DAP rancang jelajah seluruh negara, tenangkan ahli

Lim Guan Eng merayu 'kefahaman' penyokong DAP kerana 'kini adalah masa sangat mencabar'.

Free Malaysia Today
Lim Guan Eng menerima dengan hati terbuka semua kritikan daripada ahli mengenai keputusan tidak menggunakan simbol ‘roket’.
GEORGE TOWN:
DAP akan mengadakan himpunan di seluruh negara bagi menerangkan keputusan parti itu “merehatkan” simbol roket pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merayu “kefahaman” penyokong parti itu dan berkata, “kini adalah masa sangat mencabar”.

Lim berkata, keputusan mengetepikan simbol roket dan memilih simbol “mata” PKR akan membantu menguburkan tuduhan perkauman dan ekstremisme yang dilemparkan kepada parti itu.

Himpunan pertama ahli dan penyokong itu akan diadakan pada Isnin depan di Petaling Jaya. Himpunan sama dirancang diadakan di Pulau Pinang. Parti akan menerangkan kepada ahli dan penyokong tegarnya yang tidak gembira dengan keputusan tersebut dan menyuarakan rasa tidak senang mereka.

“Kita sedar tentang ahli tegar yang terbiasa dengan simbol roket menyebabkan mereka sukar menerima keputusan tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Antara yang menyuarakan rasa tidak puas hati ialah pengasas dan ahli seumur hidup DAP, Dr Chen Main Hin.

“Kami berharap beliau boleh memahami keperluan semasa kami,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu.

Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan gabungan pembangkang itu akan menggunakan simbol PKR pada PRU14.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia belum meluluskan permohonan PH untuk didaftarkan di bawah satu logo bersama bagi kegunaan PRU.

Lim bersetuju keputusan itu memberi kesan kepada pengundi kerana DAP menggunakan simbol roket sejak PRU 1969.

“Ramai penyokong belum terbiasa dengan simbol PKR, terutama di kerusi yang biasa ditandingi DAP, bukannya PKR. Ia akan menyebabkan kekeliruan. Kami mempunyai tanggungjawab besar menjelaskannya kepada pengundi dan penyokong.”

Katanya, walaupun keputusan itu sukar diterima ramai ahli dan penyokong tegar DAP, tetapi ia adalah langkah penting untuk menyatukan rakyat Malaysia.

“Ia adalah pengorbanan DAP. Tetapi jika ia berjaya menyatukan orang ramai, maka ia berbaloi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.