DAP sasar 3 kerusi PAS di Selangor

DAP sasar 3 kerusi PAS di Selangor

Sumber parti berkata, calon DAP boleh memenangi kerusi itu disebabkan sokongan kuat pengundi bukan Melayu, manakala undi Melayu akan berpecah.

PETALING JAYA: DAP Selangor dilaporkan menyasarkan 3 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dipegang PAS kerana percaya mereka berpeluang menang susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Sumber parti itu berkata, 3 kerusi itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya dan Dusun Tua.

“Mana-mana calon pelbagai kaum kami boleh memenangi kerusi itu untuk Pakatan Harapan (PH) dalam pertandingan 3 penjuru disebabkan komposisi pengundi campuran,” kata sumber kepada FMT mengenai rundingan kerusi yang masih berterusan antara DAP, PKR, PPBM dan Amanah.

Sumber itu berkata, kali ini sekurang-kurangnya 3 parti – Barisan Nasional (BN), PAS dan PH akan bersaing untuk kerusi itu.

“Calon PH daripada DAP boleh memang kerusi tersebut kerana sokongan kuat daripada pengundi bukan Melayu, manakala undi Melayu mungkin berpecah,” kata sumber.

Kerusi Taman Templer dipegang calon PAS, Zaidy Abdul Talib yang merupakan exco Selangor, selepas mengalahkan Datuk Seri Subahan Kamal pada pilihan raya umum (PRU) 2013 dengan majoriti 7,467 undi.

Ketika itu, pengundi Melayu terdiri daripada 51.5%, Cina (34.6%), India (12.96%) dan lain-lain (0.92%) daripada 49,428 pengundi.

Lembah Jaya pula dipegang Khasim Abdul Aziz yang mempertahankan kerusi untuk PAS pada 2013 dengan kelebihan 8,713 undi dalam pertarungan satu lawan satu dengan BN.

Daripada 48,730 pengundi, 54.26% ialah Melayu, Cina (31.86%), India (12.66%) dan lain-lain (1.22%).

Kerusi Dusun Tua pula dimenangi Razaly Hassan yang mengalahkan calon BN, Ismail Sani dengan majoriti 4,071 undi pada 2013.

Melayu membentuk 53.28%, Cina 37.42%, India 6.88% dan lain-lain 2.42% daripada 46,087 pengundi.

Pada 2013, PAS ialah sebahagian daripada Pakatan Rakyat yang berjaya mengekalkan pemerintahan di Selangor selepas memenangi 44 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PKR memenangi 14 kerusi, DAP dan PAS masing-masing 15 kerusi, manakala kerusi BN berkurangan kepada 12.

Kini, DAP mempunyai 14 kerusi DUN, PKR (13), PAS (13), BN (12), Amanah (2) manakala 2 lagi ialah calon bebas.

Dua calon bebas itu adalah Adun Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sebelum ini bersama PKR dan Adun Teluk Datuk, Loh Chee Heng yang sebelum ini dengan DAP.

PKR sebelum ini dilaporkan akan bertanding 19 kerusi, DAP (18), PPBM (10), dan Amanah (9).

Bagaimanapun, PPBM dan Amanah tidak berpuas hati dengan hasil rundingan awal pembahagian kerusi PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.