Kematian menantu Zahid: Klinik gigi diperintah bela diri

Kematian menantu Zahid: Klinik gigi diperintah bela diri

Keputusan itu selepas dapati pihak pendakwaan memanggil 13 saksi pada perbicaraan bermula 21 Februari 2017, berjaya membuktikan kes prima facie.

Free Malaysia Today
Gambar blogspot imperialdsc.com.
KUALA LUMPUR:
Pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd, yang didakwa atas 9 pertuduhan berhubung kematian menantu timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, hari ini diperintah membela diri atas 5 daripada 9 pertuduhan dihadapi.

Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin membuat keputusan itu terhadap pusat tersebut yang diwakili pengarah syarikatnya Dr Wong Yen Ling selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas mendapati pihak pendakwaan memanggil 13 saksi pada perbicaraan bermula 21 Februari 2017, berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan Dr Wong membela diri bagi pertuduhan ke-2, ke-3, ke-6, ke-7 dan ke-8 manakala selebihnya iaitu pertuduhan pertama, ke-4, ke-5 dan ke-9, pusat itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagi pertuduhan ke-2, OKS sebagai pemegang lesen didakwa gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi, 26, berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (ortopantomogram) terhadap Syed Alman Zain.

Pertuduhan ke-3, pusat tersebut didakwa sebagai pemegang lesen didapati gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu “Daftar Kakitangan”.

Pertuduhan ke-6, OKS dituduh gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan oksigen.

Bagi pertuduhan ke-7, pusat itu didakwa gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menerima pemindahan kecemasan pesakit iaitu Syed Alman Zain satu salinan semua rekod perubatan pesakit seperti dikehendaki bawah Seksyen 31(1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Di bawah pertuduhan ke-8, OKS didakwa gagal mengambil langkah mencukupi melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal seperti dikehendaki bawah Peraturan 49(5) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Sementara itu untuk pertuduhan yang dilepas dan dibebaskan, bagi pertuduhan pertama, OKS didakwa sebagai pemegang lesen didapati gagal memastikan Dr Ting Teck Chin, 36, iaitu orang yang memberikan perkhidmatan anestesia (bius) terhadap Syed Alman Zain mempunyai kelayakan anestesiologi.

Pertuduhan ke-4, OKS dituduh memberi perkhidmatan anestesia kepada Syed Alman Zain yang tidak tertulis dalam lesen klinik itu yang mana perbuatan tersebut melanggar peruntukan Seksyen 39(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Bagi pertuduhan ke-5, OKS didakwa sebagai pemegang lesen didapati meluaskan fungsi yang menjejaskan standard perkhidmatan dengan menyediakan perkhidmatan anestesia terhadap Syed Alman Zain tanpa kelulusan ketua pengarah kesihatan dan perbuatan itu melanggar peruntukan Seksyen 40(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Bagi pertuduhan ke-9, pusat itu didakwa gagal memastikan kehendak pelabelan ubat dipatuhi seperti dikehendaki bawah Peraturan 245 Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara 6.00 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli manakala OKS diwakili peguam P Sreekant dan mahkamah menetapkan 10 April untuk pengurusan kes bagi mendapatkan tarikh untuk OKS membela diri.

Syed Alman Zain, suami kepada Datuk Nurulhidayah, anak sulung Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.