
Datuk Rais Hussin yang mengetuai biro strategi dan dasar PPBM mendakwa tindakan JPPM jelas menunjukkan ia tidak menjalankan tugas dengan konsisten dan amanah.
“Kita akan jawab apa yang masih diperlukan untuk kami jawab. Bila kita akan mulakan tindakan akan dijawab malam ini pada sidang media khas di ibu pejabat PPBM,” katanya ketika ditemui di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
JPPM hari ini mengarahkan pembubaran sementara PPBM selepas parti itu gagal membekalkan dokumen di dalam tempoh masa yang diberikan sebelum ini.
Dokumen itu ada kaitan dengan notis JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.
Ia susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.
Perkembangan ini timbul di tengah-tengah spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan esok bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-14.
Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim berkata PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menyerahkan butiran maklumat dan dokumen yang diperlukan dalam siasatan ke atas aduan yang diterima, dan sekiranya gagal berbuat demikian, pendaftaran parti itu akan dibatalkan secara mutlak.
Isu berkaitan pendaftaran PPBM menjadi penghalang kepada pendaftaran Pakatan Harapan sebagai gabungan rasmi, bersama PKR, DAP dan Amanah. Gabungan ini mahu bertanding pilihan raya bawah satu lambang untuk melawan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Rais percaya pembubaran sementara ini tidak memberi kesan kepada PPBM menghadapi pilihan raya umum ke-14.
“Kita sudah ada rancangan lain – rancangan A, B, C dan D. Pembubaran ini sedikit pun tidak mencacatkan persiapan kita menghadapi pilihanraya.
“Kita akan gunakan satu lambang. Esok kita akan umumkam satu lambang di Johor,” katanya.