Persempadanan baru, RUU anti-berita palsu jijik, kata Anwar

Persempadanan baru, RUU anti-berita palsu jijik, kata Anwar

Bekas ketua pembangkang itu berkata, usul meminda kawasan pilihan raya adalah perkara serius yang perlu diberi masa yang cukup untuk dibincang dan dibahas.

PETALING JAYA:
Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana “tergopoh-gapah” meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar berasa amat jijik dengan tindakan BN meluluskan usul itu dengan cukup tergesa-gesa kerana usul untuk meminda kawasan pilihan raya adalah perkara serius yang perlu diberi masa yang mencukupi untuk dibincangkan dan dibahaskan.

“Sebaliknya ia dipaksa lulus dalam tempoh hanya 2 jam,” kata beliau.

“Ini bukanlah proses persempadanan semula yang betul dan mengikut lunas undang-undang, sebaliknya adalah persempadanan yang jelas melanggar semangat perlembagaan.

“Ia adalah pengakuan bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang sekiranya sempadan sedia ada digunakan,” kata Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun di penjara Sungai Buloh.

Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan baru kawasan pilihan raya dengan 129 Ahli Parlimen menyokong dan 80 Ahli Parlimen menentang usul tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, membentangkan usul berkenaan selepas protes terhadapnya yang diadakan di luar kawasan Parlimen oleh Ahli Parlimen pembangkang, Bersih 2.0 dan aktivis lain.

Anwar juga menyelar Rang Undang-undang Anti-berita Tidak Benar dengan menyifatkannya sebagai “tindakan yang cukup desperado” di pihak kerajaan.

“BN juga tergopoh-gapah memaksakan undang-undang antiberita palsu melalui Parlimen. Mereka mahu ia lulus bagi mengongkong dan menghalang orang ramai membincangkan skandal 1MDB, skandal rasuah lain dan pelbagai kesalahan kerajaan BN.

“Dengan meluluskan RUU anti-berita palsu itu, jelas kerajaan menyerang golongan muda, yang rata-rata bakal menjadi mangsa utama undang-undang zalim ini,” kata beliau.

Anwar berkata, telah sedia ada undang-undang seperti Akta Fitnah dan Akta Komunikasi dan Multimedia untu menangani masalah berita palsu atau tidak benar.

Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen Isnin lepas.

Di bawah undang-undang ini adalah menjadi kesalahan untuk membuat, menawarkan, menerbitkan dan menyebarkan berita palsu.

Ia juga menjadi kesalahan untuk memberikan sokongan kewangan secara langsung atau tidak langsung bagi membantu menyebarkan berita palsu atau bersubahahat dalam kesalahan itu.

RUU itu mentakrifkan berita tidak benar sebagai apa-apa berita, maklumat, data atau laporan yang sepenuh atau sebahagiannya tidak benar, sama ada dalam bentuk tulisan, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain yang berupaya mencadangkan perkataan atau idea.

Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mewujudkan sebuah suruhanjaya pilihan raya yang benar-benar bebas dan memansuhkan undang-undang antiberita tidak benar yang “tidak benar” itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.