
CAP mengeluarkan satu kenyataan hari ini, susulan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz semalam yang kajian sedang dilakukan untuk mempertimbangkan jika pek rokok kurang 20 batang perlu diperkenalkan bagi menangani rokok seludup.
Presidennya, SM Mohamed Idris yang terkejut dengan kenyataan Othman itu berkata, tidak wajar membenarkan penjualan rokok pek mini untuk mengatasi masalah penyeludupan rokok haram yang sebenarnya memerlukan penguatkuasaan dan perundangan lebih ketat.
“Kami ingin tahu jika kerajaan akan mengkhianati komitmennya kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC WHO) dengan memihak kepada industri tembakau,” katanya.
Semalam di Parlimen, Othman diminta menjelaskan pendirian kerajaan berhubung cadangan mengembalikan pek mini itu.
Katanya, cadangan industri tembakau itu masih dipertimbangkan bagi mengkaji kesannya dalam beberapa aspek, khususnya penularan masalah kesihatan dalam kalangan anak muda.
Beliau berkata, pengeluaran rokok pek mini itu dihentikan menerusi FCTC WHO dan kerajaan turut menubuhkan jawatankuasa Kabinet yang melaksanakan beberapa dasar untuk melahirkan generasi bebas rokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan meningkatkan penguatkuasaan jualan dan pengedaran produk tembakau haram di pasaran.
Pada 18 Januari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kerajaan tidak sesekali menyokong cadangan industri tembakau untuk mengembalikan semula rokok “kiddie pack” bagi menangani penularan rokok haram.
Katanya, cadangan itu ialah alasan pelobi industri yang ia mampu mengekang kegiatan rokok seludup dan haram yang menyebabkan pertambahan perokok di Malaysia.