Persatuan majikan: Naik gaji minimum ganggu pasaran, bebankan majikan

Persatuan majikan: Naik gaji minimum ganggu pasaran, bebankan majikan

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, orang ramai tidak harus terlalu obses dengan gaji permulaan.

Free Malaysia Today
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, gaji minuman sepatutnya ditentukan kuasa pasaran.
PETALING JAYA:
Mewujudkan 2 set gaji minimum berlainan untuk pekerja mahir dan lulusan universiti akan mengganggu struktur gaji pasaran dan membebankan majikan, kata persatuan majikan terbesar negara.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang dianggotai lebih 5,000 korporat dan 22 persatuan, memberi respons terhadap cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor untuk meningkatkan paras gaji minimum bagi pekerja lulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta graduan universiti.

Zahid mencadangkan pekerja TVET tempatan menerima gaji minimum RM3,500 sebulan, sementara Halim berkata, graduan ijazah pertama dan sarjana tidak harus terkeluar daripada cadangan itu.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, orang ramai tidak harus terlalu obses dengan gaji permulaan.

“Bagi pekerja TVET, gaji RM3,500 terlalu tinggi berbanding kadar pasaran. Apa-apa kadar di atas paras gaji minimum sesebuah negara hendaklah ditentukan kuasa pasaran,” katanya kepada FMT.

Katanya, gaji permulaan pasaran semasa bagi pekerja TVET antara RM1,800 dan RM2,200, sementara lulusan ijazah pertama antara RM2,000 hingga RM2,500 dan ijazah sarjana dalam RM3,500.

“Di Malaysia, majikan memberi kenaikan gaji, jadi anda tidak akan tersangkut pada gaji permulaan untuk 10 tahun akan datang.

“Ramai yang tidak mahu memahami perkara ini. Di sesetengah negara, mereka bayar gaji tetap untuk set kemahiran tertentu. Jika tukang kebun mendapat RM2,000, maka angka ini akan kekal tanpa mengambil kira pengalamannya.

Berbeza di Malaysia yang mempunyai gaji minimum dan gaji maksimum, jika pekerja terbukti cekap dan cemerlang, maka tidak ada sebab syarikat tidak menaikkan gaji mereka.

“Kita tidak harus mengawal gaji dengan cara ini. Ia akan ‘membunuh’ kadar upah pasaran dan menekan kewangan syarikat,” kata Shamsuddin.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bagaimanapun berkata, selagi majikan keberatan menaikkan gaji, negara tidak mampu menjamin bekalan pekerja berkemahiran tinggi atau mengetuai bidang melibatkan teknologi tinggi.

Bercakap kepada FMT, ahli ekonomi itu mendakwa majikan bersikap tamak dan sudah tiba masanya mereka melihat melampaui poket mereka semata-mata.

“Kajian terbaru menunjukkan pekerja Malaysia dibayar gaji rendah walaupun berlakunya peningkatan produktiviti. Majikan perlu mengutamakan kebajikan negara juga.”

Beliau juga bimbang jika peningkatan gaji minimum bagi pekerja mahir akan menyebabkan majikan mengupah orang asing, bukannya pekerja tempatan.

“Ini bermakna majikan akan lebih berminat mengambil pekerja mahir asing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.