
Speaker DNS Hannah Yeoh memaklumkan keputusan itu dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.
“Dewan yang mulia ini mengecam tindakan SPR yang tidak bertindak adil dalam kajian persempadanan semula kawasan pilihanraya dan menggesa SPR untuk menarik balik cadangan persempadanan semula dan mengemukakan satu cadangan persempadanan semula yang baru yang adil, seimbang dari segi bilangan pengundi, selaras dengan prinsip satu orang satu undi,” katanya Hannah kepada pemberita.
Usul dibawa Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing) dan dibahaskan bersama Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Bharu), Ng Sue Lim (DAP-Sekinchan) dan Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) selama lebih 1 jam.
Exco Elizabeth Wong dalam penggulungannya berkata walaupun cadangan persempadanan semula itu lulus di Dewan Rakyat, keputusan rayuan kerajaan Selangor mencabar proses persempadanan semula akan diumumkan Mahkamah Rayuan esok.
Beliau berkata Pandikar tidak sepatutnya membenarkan cadangan persempadanan semula dibentangkan kerana boleh membawa kepada krisis perlembagaan.
“Parlimen tak sepatutnya bentang laporan persempadanan semula memandangkan terdapat banyak kes mahkamah,” katanya.
Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lulus selepas sesi belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini, dengan 129 menyokong dan 80 menolak. Usul ini berjaya diluluskan dalam beberapa jam selepas dibentangkan dan dibahaskan oleh 7 wakil rakyat dari kedua belah pihak.
SPR mengesyorkan perubahan nama pada 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tanah Melayu. Usul itu juga mengesyorkan tiada perubahan bilangan kerusi Parlimen dan DUN di Tanah Melayu, menjadikan bilangan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kekal 222 kerusi dan kerusi DUN keseluruhannya kekal 587 kerusi.
Menurut pembangkang, cadangan SPR itu jika diluluskan akan mewujudkan kerusi “super Cina” dan “super melayu” di Kuala Lumpur jika diluluskan, manakala pengundi India akan dipinggirkan. Naib Presiden PKR Tian Chua mendakwa keadaan itu akan memberi kelebihan kepada BN.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan kerajaan mengganggu, mempengaruhi atau mencadangkan perubahan pada cadangan SPR itu.