Rakyat Terengganu hanya pilih PAS atau BN, bukan PH

Rakyat Terengganu hanya pilih PAS atau BN, bukan PH

Pengerusi Badan Penasihat PAS Mustafa Ali berkata PH tidak mempunyai pengaruh di negeri itu dan masyarakat hanya akan mengundi PAS atau BN.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook.
KUALA TERENGGANU:
PAS akui akan berlaku persaingan sengit dalam cubaan untuk menguasai Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Badan Penasihat PAS, Datuk Mustafa Ali berkata berdasarkan pemantauan terkini Barisan Nasional (BN) masih kuat walaupun menggunakan “senjata lama”.

Katanya, strategi yang digunakan jentera Umno dalam mendekati masyarakat luar bandar juga masih memberi kesan.

“Di sini (Terengganu) kawasan luar bandar dikuasai oleh Umno dan ada juga PAS… pertarungan sebenar di Terengganu adalah di antara PAS dan BN dan bukanlah Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu hari ini.

Tambahnya, sama ada BN mahupun PAS kini belajar daripada pengalaman pada PRU lepas yang mana ada ahli yang keluar daripada parti masing-masing hingga menyebabkan sasaran menguasai kerusi terjejas.

Ditanya tentang firasat beliau tentang kemenangan di negeri ini pula, beliau berkata ia bagaikan 50-50 berdasarkan keadaan semasa.

Berikutan itu beliau dan jentera PAS merancang pelbagai strategi agar mampu menawan Terengganu.

Sementara itu mengulas mengenai tuduhan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan PAS memberi sokongan dan bekerjasama dengan BN beliau berkata perkara tersebut adalah tidak benar sama sekali dan PAS bukanlah menyokong BN.

Beliau turut menegaskan PH bukanlah lawan sebenar kepada BN mahupun PAS di negeri ini kerana yakin PH tidak mempunyai pengaruh yang meluas malah minda masyarakat sekeliling hanya akan memikirkan untuk mengundi PAS atau BN.

Mengenai jangkaan PAS tentang tarikh mengundi, beliau berkata: “Hampir semua pemimpin politik menjangkakan ia berlaku sebelum Ramadan.”

Mustafa berkata berdasarkan pengalamannya, agak sukar untuk meneka siapa dan parti manakah yang akan menerajui negara selepas PRU14 nanti kerana kepercayaan pengundi boleh berubah dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.