Penderma bantu BN bayar denda RM13,000 kepada PBT Pulau Pinang

Penderma bantu BN bayar denda RM13,000 kepada PBT Pulau Pinang

Pengerusi BN Pulau Pinang berkata, parti itu juga bersedia membayar kompaun yang dikenakan Majlis Perbandaran Seberang Perai juga kerana menaikkan poster tanpa permit.

Free Malaysia Today
Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow (kanan) berkata, parti itu akan membayar denda kepada MBPP kerana menampal poster secara haram di sekitar Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Barisan Nasional (BN) akan membayar kompaun RM13,448 yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana menaikkan poster tanpa permit yang mengkritik kerajaan negeri diketuai parti pembangkang itu.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata parti itu akan mematuhi notis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan membayar denda yang dijangka dikeluarkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kami ialah sebuah parti patuhi undang-undang. Kami tahu apa yang kami lakukan. Kami ada penderma yang membantu kami mengumpul wang untuk membayar denda itu. Penderma-penderma ini menjangkakan kami membayar denda itu.

“Kami bukan sebuah parti tin Milo, di mana kami kutip derma dan tidak menggunakannya,” katanya pada sidang media hari ini.

Minggu lalu, poster dengan gambar Lim Guan Eng yang tertera “temberang Pakatan Harapan, 10 tahun 51 janji kosong” muncul di Seberang Perai dan bahagian pulau itu.

Susulan itu, MBPP pada Ahad lalu dilapor mengeluarkan kompaun berjumlah RM13,448 kepada BN kerana menaikkan poster anti ketua menteri Pulau Pinang tanpa memohon permit daripada PBT itu.

Jumlah itu termasuk 27 kompaun dikeluarkan pada 23 Mac lalu, di mana setiap kompaun itu bernilai RM250 dan jumlah keseluruhan ialah RM6,750 manakala kos membersihkan poster itu sebanyak RM6,698.

Ia selepas Teng mengakui BN menaikkan poster mengecam kegagalan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang diketuai DAP itu, pada 20 Mac lalu.

Beliau berkata, poster 4 bahasa itu adalah sebahagian usaha BN untuk menghantar mesej kepada rakyat yang kerajaan negeri gagal menunaikan 51 janji yang diberikan sejak 10 tahun lalu, serta “raptai” menjelang pilihan raya umum ke-14.

Jumaat lalu, Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang dilaporkan berkata, Teng melanggar Undang-undang Kecil (Kebersihan dan Keselamatan Awam) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1980 dan satu kompaun bernilai RM240 sudah dihantar kepadanya kerana menaikkan poster di sebatang jalan, selebihnya akan dikirim kepadanya selepas membuat pengiraan.

Poster bersaiz A5 itu menunjukkan gambar Lim menuding jari ke arah kereta dan meranduk melalui banjir kilat dengan berlatar belakangkan sebuah pangsapuri di lereng bukit botak.

FMT difahamkan MPSP, PBT di Seberang Perai akan membuat pengumuman esok mengenai jumlah kompaun yang dikenakan kepada BN kerana melanggar undang-undang dengan menaikkan poster itu tanpa permit.

BN didenda RM13,000 tampal poster Guan Eng tanpa permit

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.