
Arly Mai Geanga, 22, yang mendapat 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 8A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, beliau gagal mendapat kad pengenalan walaupun dilahirkan di Hospital Lahad Datu, Sabah.
Katanya, beliau juga gagal mendapat tempat di pusat pengajian tinggi awam tempatan, sementara universiti swasta pula terlalu mahal untuk keluarganya.
“Saya berharap kes saya boleh diketengahkan juga, dan sesuatu boleh dilakukan pihak berkuasa untuk membantu saya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, alasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak meluluskan permohonan kerakyatan beliau ialah perkahwinan ibu bapanya tidak didaftarkan.
Arly berkata, bapa ialah rakyat Malaysia, sementara ibunya rakyat Filipina yang kini memohon taraf penduduk tetap.
Katanya, beliau dan keluarganya pernah berulang alik dari Sabah ke Putrajaya, selepas JPN Sabah memberitahu proses permohonan kewarganegaraan beliau lebih cepat di pusat pentadbiran persekutuan, tetapi usaha itu tidak berhasil.
Beliau berkata, kemasukannya ke sekolah menengah pernah tertangguh 3 bulan kerana perlu menunggu kelulusan untuk memasuki sekolah kerajaan.
Adiknya juga gagal mendapat kewarganegaraan Malaysia. Mereka berdua kini tinggal dengan datuk dan nenek di Filipina bagi meneruskan pelajaran di sebuah universiti swasta di sana.

“Lebih mudah belajar di sana kerana ibu saya rakyat Filipina,” katanya sambil menambah ibunya mendaftarkan mereka berdua sebagai “anak kelahiran luar negara”.
Bagaimanapun, Arly masih berharap boleh tinggal dan bekerja di Malaysia sebagai seorang warganegara.
Ibu bapanya kini tinggal di Sabah, di mana bapanya bekerja di sebuah syarikat biodiesel dan ibunya seorang suri rumah.
“Bapa saya perlu pergi ke Kota Kinabalu setiap 2-3 bulan sekali untuk rawatan buah pinggangnya.”
Pada 12 Mac lalu, Lawyers for Liberty mengetengahkan nasib Roisah, 20, yang permohonan kerakyatannya ditolak selepas 5 tahun dikemukakan.
Walaupun dilahirkan di Klang pada 1997, tiada maklumat tentang bapa Roisah, sementara ibunya adalah warga asing. Beliau tinggal bersama ibu bapa angkatnya, yang kini meninggal dunia.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri, membantu Roisah bagi membolehkannya memasuki universiti tempatan.