
Pegawai agensi perisikan dan pihak berkuasa agama percaya ada kuasa politik mendalangi “kempen gelap” yang direka untuk menyebabkan orang ramai takut Islam terancam di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo.
Di satu pekan berdekatan Jakarta, seorang pengurus masjid ditikam dan seorang sarjana agama menerima surat yang memberi amaran 10 ulama akan dibunuh. Polis melaporkan video serangan palsu terhadap ulama Islam dan sekolah turut disebarkan di media sosial, meningkatkan lagi perasaan tidak tenteram.
Serangan melanda pulau Jawa ketika kumpulan Islamis jalur keras mendesak masyarakat menjadi lebih konservatif dan mencela ahli politik yang sederhana, mengancam reputasi Indonesia sebagai sebuah negara bertoleransi dan demokrasi selepas kejatuhan Presiden Suharto pada 1998.
Keadaan ini mengimbau kembali peristiwa-peristiwa panik yang dicetuskan oleh Suharto, kebiasaannya melibatkan serangan terhadap tokoh dan institusi agama dan kadang-kadang momok komunis untuk mencemar nama baik ahli-ahli politik.
Pilihan raya dijangka diadakan di seluruh negara pada Jun bagi memilih berpuluh gabenor, ketua daerah dan datuk bandar. Penganalisis melihat pilihan raya ini pertempuran permulaan sebelum pemilihan presiden pada 2019.
Ridwan Kamil, datuk bandar Bandung dan pendahulu dalam pemilihan gabenor wilayah Jawa Barat berkata selama berbulan dia diganggu cerita palsu di internet yang mempertikaikan pegangan agamanya.
“Kalau anda bukan orang Islam, mereka akan label kamu kafir. Kalau anda Islam, mereka akan label kamu tak cukup alim,” kata Kamil tentang seterunya, tapi tidak mahu menamakan mereka.
“Mereka cuba menghantar satu mesej…bahawa negara ini tidak selamat, kerajaan gagal, dan kita perlu tukar kerajaan sekarang. Siapa yang paling untung dalam keadaan ini? Mereka yang mencabar Jokowi,” katanya, merujuk kepada gelaran Joko Widodo, yang mendapat sokongannya untuk dipilih semula sebagai presiden.
Kempen semai perbalahan
Kemujaraban agama sebagai faktor pengalih undi ditunjukkan tahun lepas apabila gabenor popular Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, seorang bangsa Cina beragama Kristian dan sekutu rapat Joko, tewas selepas dituduh menghina Al-Quran.
Video di internet memaparkan ucapannya disunting seolah-olah beliau mengkritik Al-Quran sedangkan dia membidas mereka yang menggunakan kitab suci orang Islam untuk memberi amaran kepada orang Islam supaya jangan mengundi orang bukan Islam.
Penyingkiran Purnama digerakkan oleh Barisan Pembela Islam (FPI), gerakan jalur keras yang menganjurkan tunjuk perasaan besar-besaran terhadapnya pada 2016. Purnama kemudian dipenjarakan atas tuduhan menghina agama.
Siasatan Reuters ke atas serangan terbaharu di Jawa itu menunjukkan FPI terlibat dalam mengapi-apikan ketegangan.
Ketua Polis Negara Tito Karnavian berkata gelombang keganasan tidaklah “besar-besaran atau teratur”, dan menyalahkan aktivis di internet kerana membesar-besarkan perasaan cemas dalam kalangan orang Islam. Hanya 3 serangan yang betul-betul berlaku dan kira-kira 42 serangan palsu dipromosikan di internet, katanya.
Meskipun begitu, pegawai perisikan, pemimpin Islam dan ahli politik berkata ada usaha bersepadu untuk menyemai perbalahan melalui vandalisme dan ancaman terhadap pemimpin agama Islam, sekolah dan masjid, diburukkan lagi melalui media sosial.
Ketua agensi perisikan Budi Gunawan menggambarkan usaha bersepadu itu sebagai satu “kempen gelap yang menjadi-jadi”.
Seorang pemimpin Persatuan Islam (Persis) dibunuh seorang lelaki bersenjatakan batang besi pada awal pagi 1 Februari. Pimpinan kanan Persis berkata 22 sekolah, masjid dan guru mereka diserang atau diganggu melalui telefon sejak kejadian itu.
Timbalan Pengerusi Persis, Jeje Zaenudin berkata ada pihak cuba mencetuskan tindakan balas.
Timbalan Setiausaha Agung Nahdlatul Ulama (NU) Mahmoud Syaltout berkata, sekolah dan masjid NU juga diserang.
Seorang lelaki yang ditangkap cuba merosakkan masjid di Jawa Timur tampak sihat dan berpura-pura gila, katanya.
Ketua turus Joko, Moeldoko, seorang pegawai tentera bersara memberitahu media, ada pihak bermain “permainan lama”. Beliau berkata menggunakan orang bermasalah mental untuk mencetuskan kekacuan ialah taktik yang digunakan di era Suharto.
Momok komunis
Ditekan Joko, NU dan satu lagi gerakan Islam sederhana, Muhammadiyah, menggiatkan lagi usaha akar umbi melawan gerakan fundamentalis. Menurut satu tinjauan baru-baru ini, hampir 20% pelajar sekolah menengah dan universiti menyokong penubuhan khalifah berbanding negara sekular.
Di media sosial, banyak jari menuding serangan-serangan terbaharu itu pada “komunis”, yang menurut pengkritik dibenarkan tumbuh bawah Joko dan parti haluan kirinya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan.
Kerajaan dan penganalisis bebas berkata tiada bukti berasas menunjukkan kebangkitan semula Parti Komunis Indonesia (PKI), suatu masa dulu parti komunis kedua terbesar di dunia. Parti itu musnah selepas tentera dan sukarelewan Islamis menyembelih sekurang-kurangnya 500,000 orang yang didakwa berhaluan kiri dan keluarga pada 1965.
Meskipun begitu, Islamis, ultra nasionalis dan beberapa orang dalam tentera memberi amaran tentang kebangkitan komunis. Penganalisis melihat momok komunis itu sebahagiannya ditujukan terhadap Joko, seorang reformis dan ahli politik sederhana yang sering dituduh berketurunan komunis oleh musuh-musuhnya.
Awal tahun ini, seorang gelandangan, disyaki merancang serangan terhadap seorang ulama di sebuah sekolah agama berasrama di Jawa Barat dipukul dan dituduh komunis.
Lelaki itu dikasari para pelajar semasa dia berulang-alik di laluan berdekatan sekolah di pekan Bogor, sekitar 3.00 pagi 10 Februari, kata seorang pelajar, Mahmud Mukhlis.
Satu pin ditemui dalam beg gelandangan itu yang diisytiharkan sebagai simbol PKI oleh seorang ahli FPI tempatan, kata Mahmud. Pin itu, apabila ditunjukkan kepada Reuters, sebenarnya tag nama sebuah sekolah berlambangkan burung helang, simbol negara Indonesia.
Ahli FPI merakam serangan itu dan berkongsi video itu di media sosial, kata Mahmud.
Jurucakap FPI, Slamet Maarif, tidak menafikan kumpulannya mendalangi video itu. Beliau berkata masih belum dibuktikan rancangan “komunis” lelaki gelandangan itu satu penipuan, dan menggambarkan kejadian itu sebagai bukti “kebangkitan ” parti komunis.
“Kerajaan sepatutnya siasat, bukannya tuduh orang menyebarkan cerita tipu,” kata Slamet.
Tentera siber Islam
Polis menangkap kira-kira 20 anggota rangkaian aktivis internet kerana menyebarkan berita palsu tentang serangan terhadap tokoh agama di serata Jawa.
Dikenali sebagai Tentera Siber Islam (MCA), rangkaian itu terbentuk selepas kerajaan menutup laman-laman FPI dan akaun media sosial susulan tunjuk perasaan anti-Purnama pada 2016.
Polis berkata mereka sedang menyiasat siapa yang membiayai dan mengarahkan MCA. Pimpinan FPI kerap memuji rangkaian itu dan menggesa polis henti mengganggunya.
Sejak berdekad lama, wilayah Jawa Barat diperintah oleh gabungan parti-parti nasionalis dan Islamis konservatis yang menyokong Prabowo Subianto, bekas komander pasukan khas era Suharto yang tewas dalam pemilihan presiden 2014 di tangan Joko.
Dalam pertandingan itu, Joko dihimpit kempen fitnah di internet yang menuduh beliau dari keluarga komunis dan berketurunan Cina. Amaran tentang kebangkitan komunis sering dikaitkan dengan peningkatan pelaburan dan pekerja dari China, sebahagian dari usaha Joko merombak prasarana negara yang bermasalah.
Prabowo dijangka akan sekali mencabar Joko pada pilihan raya tahun depan.
Prabowo didorong oleh kemenangan seorang calon yang disokongnya pada pilihan raya gabenor Jakarta tahun lepas, tetapi calon partinya, Gerindra, dalam pemilihan gabenor Jawa Barat didapati ketinggalan berbanding Ridwan dalam beberapa tinjauan.
Timbalan Setiausaha Agung Gerindra, Ahmad Reza Patria berkata, parti itu tiada kaitan dengan “tindakan jahat dan luar biasa” di Jawa. Prabowo belum mengulas kejadian itu secara terbuka.
Ridwan berkata rondaan keselamatan di Bandung ditingkatkan susulan gelombang serangan, tetapi beliau yakin serangan-serangan itu bermotifkan politik.
“Pada pendapat saya, semua ini dirancang,” katanya. “Bukan hanya seorang, tetapi satu pertubuhan yang cuba meraih manfaat politik melalui ketakutan.”