Najib diminta jelas dakwaan BN guna syarikat UK manipulasi PRU13

Najib diminta jelas dakwaan BN guna syarikat UK manipulasi PRU13

Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan jika BN akan menggunakan khidmat Cambridge Analytica untuk memenangi PRU14, susulan dakwaan parti itu menggunakan syarikat berkenaan pada PRU13.

PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PPBM meminta Datuk Seri Najib Razak menjelaskan dakwaan Barisan Nasional (BN) menggunakan khidmat sebuah syarikat data besar berpangkalan di United Kingdom yang dipalit skandal untuk memanipulasi data peribadi pada pilihan raya umum.

Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan jika benar BN menggunakan khidmat Cambridge Analytica (CA), susulan dokumentari Channel 4 di Britain mengenai amalan syarikat itu di seluruh dunia.

Dokumentari itu merakamkan dakwaan eksekutif tinggi CA secara rahsia, mereka boleh menggunakan rasuah, bekas perisik dan pekerja seks untuk memerangkap ahli politik di seluruh dunia, selain mendakwa pernah terbabit dalam kerja pemilihan di Malaysia.

Wan Saiful merujuk pengakuan di laman web CA Political yang mendakwa ia pernah membantu Najib menawan Kedah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

“CA menyokong BN di Kedah dengan kempen mesej sasaran yang menonjolkan peningkatan sekolah sejak 2008.

“BN merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat pada PRU13 dengan memenangi 21 daripada 36 kerusi DUN dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri itu,” demikian menurut laman web CA Political.

CA yang dikaitkan dengan bekas penasihat Donald Trump, Steve Bannon dan jutawan sayap kanan pro-Trump, Robert Mercer, didakwa mendapatkan data peribadi sehingga 50 juta pengguna Facebook tanpa persetujuan dalam kempen pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) bagi membantu Trump.

CA didakwa menyasarkan iklan kepada pengguna tertentu dengan cara manipulasi untuk mengeksploitasi “roh jahat” mereka.

“Ini menimbulkan persoalan dalam diri saya sama ada Najib dan Umno menggunakan taktik sama dengan gerakan sayap kanan terkenal AS dan orang seperti Steve Bannon,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.

“Manipulasi pilihan raya terlalu tidak beretika dan menjejaskan demokrasi Parlimen kita. Saya berharap Najib tidak sengaja membawa Cambridge Analytica ke Malaysia untuk mengeksploitasi sentimen perkauman dan mewujudkan perpecahan kaum di sini demi manfaat politik jangka pendeknya.”

Wan Saiful yang meninggalkan badan pemikir, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) diasaskannya awal bulan ini berkata, berdasarkan input 300 pemerhati, beliau membuat kesimpulan PRU13 “hanya sebahagian bebas dan tidak adil”.

Beliau turut meminta Najib menjelaskan kos dan peranan CA dalam membantu Umno.

Beliau yang menyertai PPBM pada 1 Mac lalu menasihatkan Najib tidak menggunakan taktik memecah belah dan tidak beretika untuk memanipulasi rakyat.

“Lebih penting, tidak kira betapa terdesak Najib untuk terus berkuasa, beliau tidak boleh menggunakan taktik memecah belahkan dan tidak beretika untuk memanipulasi sentimen sayap kanan dan etnik agama di Malaysia.

“Jangan kerana anda terdesak untuk kekal berkuasa, masa depan negara dan demokrasi Parlimen kami musnah,” katanya yang mahu Najib memberi jaminan tidak akan menggunakan taktik manipulasi pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.