Apa yang pelik, PAS pertahan doa ‘turunkan siksa’ ke atas musuh

Apa yang pelik, PAS pertahan doa ‘turunkan siksa’ ke atas musuh

Pemimpin tertinggi PAS berkata isi kandungan doa itu dimanipulasi media untuk memburukkan imej parti Islam itu.

Free Malaysia Today
Ribuan penyokong PAS berhimpun di Shah Alam bagi mendoakan kemenangan PAS, Sabtu lepas.
PETALING JAYA:
PAS mempertahankan bacaan doa yang menyerang musuh politik parti itu yang dilakukan pada sebuah program anjuran PAS baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu itu disensasikan semata-mata untuk memburukkan imej parti.

“Doa itu dimanipulasi. Kalau kita tengok pun doa, biasalah kita doa untuk kemenangan kita dan mengalahkan musuh, sebenarnya tiada benda yang pelik pun,” katanya selepas pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera di Cyberjaya, malam tadi.

Lebih 2,000 penyokong PAS yang menyertai program solat hajat baru-baru ini membacakan “Qunut Nazilah”, doa khas yang diamalkan umat Islam ketika berhadapan keadaan cemas atau membimbangkan.

Beberapa media melaporkan kandungan doa itu membayangkan ia ditujukan khusus terhadap Pakatan Harapan, gabungan 4 parti yang bakal berdepan dengan PAS dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Antara kandungan doa itu ialah: “Ya Allah, cerai beraikanlah persatuan dan kesatuan mereka. Goyahkanlah langkah mereka, dan turunkanlah atas mereka siksa-Mu yang tidak akan Engkau jauhkan dari kaum yang berbuat jahat.”

Tuan Ibrahim berkata doa seperti itu bukan sesuatu yang pelik.

“Memanglah kita doa minta pada Allah. Minta beri kemenangan kepada kita dan mengalahkan musuh. Jadi apa yang peliknya? Tiada yang pelik dalam doa itu. Isunya bukan doa, tetapi media pusing.

“Kalau media lapor betul, tiada isu pun,” kata Tuan Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.