
Beliau berkata, kebimbangan mengenai kemelut politik di Amerika Syarikat (AS), termasuk keputusan Presiden Donald Trump untuk menggantikan Penasihat Keselamatan Negara HR McMaster dan memecat Setiausaha Negara Rex Tillerson menjejaskan mata wang yang dianggap selamat itu.
“Ini akan membantu meningkatkan sentimen ke atas mata wang lain, terutama mata wang negara pengeluar komoditi dan pesat membangun.
“Bagaimanapun, kebimbangan mengenai kemungkinan perang perdagangan mungkin mengurangkan minat di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama.
Awal minggu ini, Trump mengumumkan AS akan mengenakan tarif sehingga AS$60 bilion ke atas import dari China, khususnya menyasarkan sektor teknologi dan telekomunikasi.
Rumah Putih berkata langkah itu bertujuan menekan China supaya mengurangkan lebihan dagangan dengan AS sebanyak AS$100 bilion.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup kukuh pada 3.9070/9120 daripada 3.9100/9140 berbanding dolar AS pada minggu sebelumnya.
Ringgit memulakan minggu ini pada kedudukan yang lebih tinggi, didorong oleh laporan ekonomi tempatan yang lebih baik dan prestasi lemah dolar.
Kebimbangan terhadap peningkatan perlindungan di bawah pentadbiran Trump mengurangkan minat untuk mengambil risiko di seluruh dunia, termasuk ke atas ringgit, yang menyebabkan mata wang tempatan menyusut nilai.
Namun, unit tempatan kembali mengukuh berikutan kemunculan kebimbangan baharu politik di Rumah Putih.
Sementara itu, ringgit kebanyakannnya didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9761/9810 daripada 2.9653/9694 pada Jumaat lepas, dan menurun berbanding yen Jepun kepada 3.6953/6010 daripada 3.6610/6662.
Ringgit menyusut nilai berbanding euro kepada 4.8138/8215 daripada 4.8093/8158, dan rendah berbanding pound British kepada 5.4565/4643 daripada 5.3997/3060 sebelumnya.