Kebakaran: HKL tetap strategi luar jangka pastikan keselamatan, kelancaran

Kebakaran: HKL tetap strategi luar jangka pastikan keselamatan, kelancaran

Dr Alzamani Mohammad Idrose berkata perbincangan terperinci akan dibuat bagi memastikan semua pesakit dan petugas selamat serta sistem dan operasi berjalan lancar.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan mengadakan mesyuarat “maklum balas” bersama pengurusan tertinggi hospital bagi menetapkan strategi luar jangkaan selepas stor peralatan di Jabatan Patologi, Insititut Forensik Perubatan Negara (IFPN) HKL terbakar hari ini.

Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma, Dr Alzamani Mohammad Idrose berkata, mesyuarat akan disertai ketua jabatan, ketua jururawat, pihak kejuruteraan dan bahagian farmasi bagi membincangkan pelan kesinambungan perkhidmatan.

Beliau berkata, perbincangan terperinci akan dibuat bagi memastikan semua pesakit dan petugas selamat serta sistem dan operasi berjalan lancar.

“HKL mempunyai pelan kontingensi bagi memastikan kelancaran operasi dan kita bersyukur kerana perkhidmatan hospital masih dapat berjalan lancar walaupun terdapat gangguan kerja-kerja pembaikan pihak kejuruteraan bagi memastikan keselamatan hospital terjamin.

“Oleh itu, bahagian zon hijau dan kuning yang terletak berhampiran dengan lokasi kebakaran ditutup sementara kerana bau asap yang dibawa angin dan bukannya kerana terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Zon ini akan dibuka semula dan dijangka tidak mengambil masa yang lama. Selaras dengan pelan bencana hospital, pesakit perlu dimasukkan ke wad dengan segera supaya ruang rawatan dapat menampung pesakit zon kuning.”

Dr Alzamani berkata, keadaan dapat dikawal dengan baik kerana respons pantas daripada semua pihak.

“Pada masa ini pihak bomba sedang menjalankan siasatan forensik bagi memastikan dengan jelas akan punca kebakaran.

“Segala ruang diberikan supaya siasatan dapat berjalan dan punca dikenalpasti dan pada masa sama pihak kejuruteraan sedang membuat pemantauan dari segi bekalan gas oksigen dan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata, HKl masih terus beroperasi seperti biasa dan dapat menampung kesemua keperluan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan, termasuk yang memerlukan wad.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari tadi stor di IPFN HKL dilaporkan terbakar. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Terdahulu, Pengarah HKL Datin Dr Nor Akma Yusuf dalam kenyataan berkata evakuasi pesakit, kakitangan dan pelawat dari bangunan berdekatan dijalankan mengikut prosedur.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.