
Wakil rakyat PKR itu berkata kejadian berlaku pada 2016 apabila beliau mahu membuat laporan polis di sebuah balai dalam kawasan Parlimen itu.
Di Dewan Rakyat hari ini, Manivannan menyeru Kementerian Dalam Negeri memberi perhatian terhadap anggota yang tidak memahami fungsi dan tanggungjawab polis dalam masyarakat.
Beliau bagaimanapun tidak mahu menamakan balai berkenaan kerana memikirkan anggota dan pegawai polis lain yang tidak terlibat.
“Saya sendiri pernah menjadi mangsa situasi sama. Bila sampai di balai sekitar 8.00 malam, saya tidak dibenarkan masuk walaupun selepas saya berikan kad Ahli Parlimen. Anggota yang menjaga pondok kawalan tidak kenal saya sebab itu dia tidak benarkan saya masuk,” katanya.
“Saya tak nak kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya minta kerajaan beri perhatian khusus,” katanya.
Dihubungi kemudian, Manivannan berkata beliau sekali berdepan situasi yang sama pada 2017 di balai lain. Dalam kejadian kedua, wakil rakyat itu cuba memandu masuk dengan kenderaan berlambang Ahli Parlimen Malaysia tetapi masih tidak dibenarkan.
“Susulan kes wanita yang tular itu saya minta pihak polis perlu bertimbang rasa. Tidak perlu guna kekasaran bila nak beri bantuan,” katanya
Semalam, seorang wanita memandu ke sebuah balai polis di Cheras kerana rasa terancam apabila diekori sekumpulan pemuda, tetapi mendakwa anggota di pos kawalan tidak membenarkannya masuk.
Kogee Sinniah juga mendakwa apabila keretanya dihalang oleh kumpulan pemuda terbabit di kawasan berdekatan balai, tiada anggota memeriksa keadaannya walaupu selepas membunyikan hon.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang kesalahan di pihak anggota bertugas.
Kumpulan pemuda terlibat, 3 lelaki berusia dalam lingkungan 18 tahun, ditangkap untuk siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Wanita dakwa polis gagal bantu selepas diganggu ‘pembuli jalanan’