20 tahun untuk betulkan sejarah, kini terlambat, Salleh beritahu Dr M

20 tahun untuk betulkan sejarah, kini terlambat, Salleh beritahu Dr M

Menteri komunikasi berkata segala yang berlaku sejak tahun 1997 didokumentasi dengan baik disebabkan adanya Internet.

mahathir-anwar
Dr Mahathir Mohamad memecat timbalannya Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan parti pada 1998.(Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Sekarang sudah terlambat untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah sejarah mengenai apa yang didedahkan di mahkamah 20 tahun yang lalu, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, mengulas bekas perdana menteri itu yang mengaku salah bertindak dalam memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Menteri komunikasi dan multimedia itu menyifatkan pengakuan terbaharu Dr Mahathir sebagai yang paling membingungkan dan menimbulkan percanggahan sambil berkata, beliau silap besar jika fikir boleh mengubah sejarah kerana segala yang berlaku sejak tahun 1997 didokumentasi dengan baik disebabkan adanya Internet.

Beliau berkata, pengerusi PPBM itu mempunyai masa 20 tahun untuk membetulkan rekod sekiranya apa yang dilaporkan itu adalah salah.

“Pertama sekali, apabila didedahkan bahawa Anwar mengalami insiden ‘mata lebam’, Mahathir berkata kemungkinan besar Anwar menumbuk mukanya sendiri.

“Apabila akhirnya didedahkan bahawa bekas Ketua Polis Negara telah menumbuk Anwar, Mahathir tidak meminta maaf atau menarik balik dakwaannya bahawa Anwar menumbuk mukanya sendiri,” katanya dalam catatan blog.

Salleh berkata, bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar kemudian mendedahkan bahawa Dr Mahathir menghantar beliau untuk bertemu Anwar untuk menasihatkan beliau bahawa polis menyedari tentang salah laku seksualnya dan aktiviti lain dan bahawa beliau haruslah menghentikannya sebelum ia diketahui umum.

“Anwar tidak pernah menafikan pertemuan ini, tetapi berkata pertemuan tersebut adalah mengenai jawatan pengerusi Genting untuk Hanif dan bukan mengenai aktiviti seks.

“Ini bermakna Mahathir tahu mengenai kegiatan Anwar lama sebelum Ogos 1998 dan beliau menghantar Hanif untuk bertemu Anwar untuk membincangkan perkara itu,” kata beliau.

Dalam pada itu, Salleh juga melancarkan serangan hebat ke atas Pakatan Harapan (PH) kerana mereka menyifatkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai yang paling kotor dalam sejarah.

Salleh berkata, ini semacam menunjukkan PH tahu mereka akan kalah dan sebab itulah mereka memberi alasan itu untuk menjelaskan kekalahan mereka.

“Mereka melakukannya ini pada PRU13 dan kemudian terbukti bahawa semua dakwaan mengenai kehadiran pengundi warga Bangladesh dan gangguan bekalan elektrik adalah palsu,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.