Khaled: Kajian Invoke tak benar, Umno Johor akan buat kejutan

Khaled: Kajian Invoke tak benar, Umno Johor akan buat kejutan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed berkata, kajian Invoke hanya helah dan propaganda pilihan raya bagi mempengaruhi rakyat kerana mereka menemubual 2,000 responden dan membuat rumusan untuk seluruh negara.

khaled-nordin
Gambar Facebook.
KULAI:
Barisan Nasional (BN) khususnya Umno Johor dijangka membuat kejutan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi membuktikan kajian Invoke Malaysia yang dilakukan pembangkang baru-baru ini mengenai negeri itu bakal ditawan Pakatan Harapan (PH), tidak benar.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata metodologi yang digunakan ketika kajian oleh pembangkang itu tidak tepat dan cuma dibuat menerusi media sosial semata-mata.

“Dia pakai media sosial macam dalam WhatsApp apabila kata tak sokong kerajaan, kena bagi pandangan bila orang kritik kerajaan dia dah ambil kira, itu dia punya cara.

“Sebab itu saya katakan metodologi yang diguna boleh dipersoalkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pembangunan Pentadbiran Kulai, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Khaled berkata, pendekatan kajian dijalankan BN, khususnya Umno jelas berbeza di mana setiap petugas akan membuat “survey” (kaji selidik) ke atas 30 pengundi lebih daripada sekali untuk mendapatkan kajian lebih tepat.

“Kita buat kaji selidik di mana 30 pengundi ditanya persoalan tepat, sama ada menyokong BN atau tidak.

“Bukan sekali, tapi 3, 4 kali dalam masa 2 tahun kebelakangan ini dan kita akan bagi ‘surprises’ kepada Rafizi…itu saja yang saya nak cakap pada Rafizi.”

Di Johor Bahru, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut senada dengan Khaled mengenai metodologi kajian pembangkang yang disifatkan tidak masuk akal.

Menurut beliau, rumusan kajian yang dibuat badan pemikir pembangkang itu hanya helah dan propaganda pilihan raya yang dibuat semata-mata bagi mempengaruhi rakyat, meskipun realitinya sokongan terhadap PH semakin menurun.

“Invoke ini ditubuhkan tahun lepas oleh Rafizi Ramli selepas dia menghadapi masalah. Saya tidak percaya dengan metodologi kajian yang digunakan mereka dan lebih percaya kajian dijalankan badan-badan luar yang lebih bertauliah. Mana ada kajian yang menemubual 2,000 orang dan membuat rumusan untuk seluruh negara?

“Ini adalah propaganda yang seringkali dibuat pembangkang menjelang pilihan raya untuk memberikan keyakinan kepada rakyat bagi mengaburi fakta sokongan rakyat kepada mereka semakin lama semakin menurun, dan mereka sendiri berada di dalam keadaan kucar-kacir.”

Semalam, pengasas Invoke yang juga naib presiden PKR mendakwa pakatan pembangkang mampu menang di 5 negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor dengan PH dijangka memenangi 89 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Hadi: PAS ada kajian sendiri, kaji selidik Invoke ramalan ‘atas meja’

Invoke ramal PH tawan 5 negeri, PAS hilang semuanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.