Dr M beri penghormatan pada Sanusi insan berjasa

Dr M beri penghormatan pada Sanusi insan berjasa

Dr Mahathir berkata Sanusi Junid seorang patriot, nasional dan antara insan paling berpengetahuan pernah dikenalinya.

mahathir-mohamad-fmt-7
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi penghormatan kepada Tan Sri Sanusi Junid, seorang patriot, nasionalis dan insan berpengetahuan yang menyumbang penyelesaian kepada banyak masalah negara.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata negara kehilangan seorang pemimpin besar dengan pemergian ahli politik veteran itu yang pernah membantu Dr Mahathir menubuhkan PPBM pada September 2016.

“Beliau sebagai seorang ahli politik ada ramai musuh dan ramai kawan. Dia antara insan paling berpengetahuan pernah saya kenali,” kata Dr Mahathir, 93, dalam kenyataan malam tadi.

“Beliau ada perpustakaan sendiri dan ada banyak buku tentang politik dan ekonomi. Daripada buku-buku itulah dia menyumbang penyelesaian dan idea kepada banyak permasalahan yang dihadapi negara.”

Dr Mahathir mengenali Sanusi sebelum menjadi menteri pada 1974. Beliau melantik Sanusi ke Kabinet selepas berpeluang menjadi perdana menteri pada 1981.

“Sanusi sentiasa seorang nasionalis. Patriotisme Sanusi tak boleh dicabar. Beliau sangat inovatif dan ada banyak idea tentang pertanian contohnya,” katanya.

Sanusi, 74, berkhidmat sebagai menteri pembangunan negara dan luar bandar dari 1981 hingga 1986, dan menteri pertanian dari 1986 hingga 1995. Dia kemudian dilantik sebagai menteri besar Kedah dari 1996 hingga 1999.

Dr Mahathir berkata Sanusi memperkenalkan banyak idea sebagai menteri besar di negeri kelahiran mereka.

“Saya sentiasa mesra dengannya dan saya amat menghormati idea-idea beliau,” katanya.

Beliau juga berkata Sanusi, yang dijadikan pengerusi lembaga disiplin PPBM, bekerja rapat dengannya dan sangat menyokong usaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Dia menubuhkan satu panel yang bagus dan menjalankan kerjanya dengan bijaksana,” kata Dr Mahathir.

“Dia antara ahli terawal PPBM tetapi dia tidak dapat seaktif seperti yang dia mahu kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Saya sedih dengan pemergiannya. Saya berdoa kepada Allah dia bersemadi dengan tenang di Akhirat,” tambahnya.

Sanusi meninggal dunia semasa menunggu azan subuh, kata anak

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.