Azmin: Jangan salahkan kerajaan negeri, gangguan air berterusan kerana paip pecah

Azmin: Jangan salahkan kerajaan negeri, gangguan air berterusan kerana paip pecah

Azmin Ali berkata, punca krisis air itu berpunca daripada insiden paip pecah semasa proses penyelenggaraan dijalankan di bawah seliaan Splash yang masih berada di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

paip-pecah-selangor
SHAH ALAM: Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan Selangor tidak patut dipersalahkan atas krisis gangguan air di sekitar Lembah Klang sejak Selasa lalu kerana pihaknya sedang mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah itu.

Menteri besar Selangor itu berkata, punca krisis air itu berpunca daripada insiden paip pecah semasa proses penyelenggaraan dijalankan di bawah seliaan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Katanya, Splash masih berada di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Oleh itu, Azmin menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kerajaan Selangor tidak pandai menguruskan masalah air.

“Kalau berani salahkan Najib,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persempadanan antara kerajaan Selangor dan Pahang hari ini.

“Kita sedang mengambil langkah proaktif, jadi tuduhan perdana menteri kita tak boleh urus air, berlaku catuan dan kekurangan bekalan ini satu tuduhan tidak berasas.”

Rabu lalu, Najib dilaporkan berkata, masalah bekalan air dan kos harga rumah tinggi antara 5 kelemahan besar gagal ditangani kerajaan pembangkang di Selangor.

“…air gagal diurus kerajaan negeri, tengok saja pembangkang di Kelantan, kita (kerajaan pusat dan kerajaan negeri) boleh uruskan air, tetapi di sini (Selangor) mereka utamakan politik, bukan hal rakyat.

“Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) memaklumkan 6 daerah kritikal, cemas, ibarat telur di hujung tanduk, sebab bekalan air lemah, kualiti semakin teruk, tekanan rendah, bil kelam-kabut dan khidmat servis tidak baik…inilah kisah pentadbiran air di Selangor,” katanya kelmarin.

Ia susulan gangguan bekalan air melibatkan banyak kawasan di sekitar Lembah Klang sejak Selasa lalu, dijangka berlarutan sehingga Sabtu dan Ahad ini kerana Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pecah dan menyebabkan 5 batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan 2 daripadanya terpelanting keluar daripada strukturnya serta beberapa pekerja cedera.

Antara kawasan terjejas adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Azmin berkata, isu gangguan air itu tiada kaitan dengan masalah kekurangan air kerana Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Dengkil yang bernilai RM177.5 juta mula beroperasi 1 Mac lalu.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi pada pihak kerajaan negeri, kita telah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan perkara ini tidak berlaku. Isu ini berlaku disebabkan kemalangan yang saya sendiri tidak mahu ia berlaku.”

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib dilaporkan berkata bekalan air ke kawasan terjejas di Lembah Klang sejak dijangka pulih secara berperingkat mulai 6 petang semalam.

Katanya, bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 36 hingga 72 jam.

Syabas lanjut tempoh gangguan air Lembah Klang kerana sistem pecah

Exco Selangor: Bekalan air dijangka pulih 6 petang esok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.