
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ketua penyiasat pasukan, Datuk Kok Soo Chon akan mengumumkan perkembangan terkini siasatan menerusi siaran langsung di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 3.00 petang.
“Kenyataan itu juga akan dimuat naik ke laman rasmi MH370, www.mh370.gov.my dan akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada waris terdekat dan kemudian dimaklumkan kepada umum,” kata Liow dalam kenyataan hari ini.
Penerbangan MH370 sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, apabila ia dilaporkan hilang dan semua 239 penumpang dan kru dalam pesawat tersebut diisytiharkan terkorban.
“Tarikh 8 Mac 2014 akan sentiasa kekal dalam ingatan kita. Ia pasti menjadi detik sukar dan penuh mencabar selama 48 bulan bagi ahli keluarga dan orang tersayang penumpang dan anak kapal penerbangan MH370.
“Empat tahun mungkin berlalu tetapi ingatan penumpang dan anak kapal pesawat tersebut sentiasa bersama kita dan mereka tetap diingati bukan sahaja keluarga tetapi juga rakyat Malaysia dan masyarakat dunia,” kata beliau.
Liow berkata kerajaan tetap komited merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut apabila bersetuju menggunakan khidmat Ocean Infinity, sebuah firma penerokaan dasar laut Amerika Syarikat untuk menjejaki pesawat itu pada 10 Januari 2018.
Pencarian tersebut berdasarkan terma “no cure no fee” iaitu pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat ditemukan dalam tempoh 90 hari.
Liow berkata misi pencarian membabitkan 65 kru atas kapal itu termasuk 2 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai wakil kerajaan Malaysia dan setakat ini, kapal Seabed Constructor menjalankan pencarian merangkumi kawasan seluas lebih 16,000 kilometer persegi.