
Menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata, kelapa sawit menjadi sasaran EU kerana komoditi itu terlalu berjaya, bukan sebaliknya.
Beliau berkata, industri sawit Malaysia hanya mendominasi 10% pasaran dunia dahulu, tetapi kini ia mencecah 60%.
“Ini bermakna kelapa sawit telah naik begitu cepat sebab usaha kita. Apabila kita naik begitu cepat, yang lain dia takut. Dia takut kalau tak hadkan, dalam 10 tahun lagi kelapa sawit akan dominasi 80%.
“Sebenarnya sawit adalah mangsa kepada kejayaan sendiri. Mereka takut, mereka gunakan alasan ini untuk hadkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) adakah negara gagal dalam industri sawit selama 2 dekad dan perlu mendekatkan diri kepada EU.
Pada 17 Januari lalu, 429 anggota Parlimen Eropah menggesa penyingkiran minyak sawit daripada program biodiesel menjelang 2021 kerana ia menyebabkan kemusnahan hutan, manakala biofuel berasaskan minyak sayuran lain seperti minyak soya dan minyak biji sesawi boleh terus digunakan sehingga 2030.
China, EU dan India merupakan 3 pasaran utama bagi minyak sawit Malaysia.
Tahun lepas, 2 juta tan metrik atau 15% daripada eksport minyak sawit Malaysia bernilai RM10.3 bilion dieksport ke EU.
Mah berkata, tidak dinafikan negara jiran mengalami jerebu teruk pada 2015 menyebabkan ahli Parlimen EU bimbang serta menyasarkan industri kelapa sawit.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia sudah berjanji akan memelihara alam sekitar dengan 60 undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa ketika ini.
“Malaysia telah buat deklarasi bahawa 50% tanah kita akan terus menjadi hutan dan kita akan ikut komitmen. Kita akan atasi halangan ini walaupun ia satu cabaran besar.”
Beliau berkata, bantahan EU bukan perkara baharu kerana tindakan sama pernah berlaku 15 tahun lalu.
“Serangan terhadap sawit bukan sesuatu yang baru. Dulu mereka (serang) berkaitan dengan isu kesihatan seperti yang kita maklum sawit tidak sihat, punca sakit jantung, tetapi semua itu dibuktikan salah. Sekarang dibuktikan ada vitamin A, vitamin E, tiada asid lemak dan tiada kolestrol.
“Sekarang serangan telah berubah. Serangan sekarang dari segi kemampanan, alam sekitar dan bagi saya ini semua ‘perceptionist’.”