
“Secara automatik, saya akan mengambil alih tugas Maria. Saya pernah berbuat demikian semasa dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di tengah-tengah perhimpunan Bersih 5.
“Kita tahu apa yang perlu dilakukan dan kita tidak akan membiarkan perjuangan kita bertahun-tahun menjadi sia-sia.”
Shahrul berkata keputusan Maria tidak menghairankan kerana jawatankuasa Bersih sudah bersedia untuk melepaskannya walaupun sebelum pengumuman dibuat.
Apabila ditanya apakah perasaannya untuk mengambil alih peranan sebagai pengerusi, Shahrul berkata beliau disokong oleh rakyat.
“Membuat perubahan bukan sesuatu yang hanya dikehendaki Bersih sendiri. Semua orang yang menyokong pembaharuan institusi serta pilihan raya bersih dan adil, membuktikan Bersih tidak berjuang sendirian.
“Ia adalah sokongan dan kesediaan rakyat Malaysia yang membuktikan kerelevanan dan sebab kewujudannya.”
Ditanya jika Bersih akan terkesan dengan ketiadaan Maria dalam jawatankuasa itu, Shahrul berkata anggota jawatankuasa sedia ada bersedia untuk menjaga Bersih dengan baik.
Ahad lalu, Maria mengumumkan akan meninggalkan Bersih 2.0 untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya memutuskan untuk meletakkan jawatan pengerusi Bersih 2.0 dan mengambil cabaran baru dalam arena politik.
“Saya menawarkan diri saya sebagai calon pada PRU14 akan datang sebagai calon bebas untuk Pakatan Harapan,” katanya.
Sebelum ini spekulasi mengatakan Maria akan menggantikan sama ada Naib Presiden PKR Tian Chua di Parlimen Batu atau Hee Loy Sian di Petaling Jaya Selatan.
Sementara itu, penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata Maria mesti membuat garis pemisah antara kerja aktivis dan politik.
“Kedua-dua perkara ini tidak boleh bercampur kerana bertanding dalam pilihan raya umum, bermakna Maria menyertai parti politik – sama ada menyertainya secara rasmi atau bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan.
“Bersih 2.0 ditubuhkan sebagai organisasi tidak berpihak dan bukan organisasi kerajaan untuk berjuang bagi pilihan raya yang bersih dan adil.
“Apabila Maria menjadi ahli politik, ini bermakna dia tidak lagi dianggap sebagai tidak berpihak.”
Kamarul menambah apabila Shahrul mengetuai organisasi tersebut, ia dapat meneutralkan persepsi bahawa Bersih adalah NGO “pro-Cina”.
“Bersih 2.0 akan menjangkaui kaum lain, terutama orang Melayu,” katanya.