Pengarah JSJ sedikit ‘naif’ undang-undang Australia, kata Zahid

Pengarah JSJ sedikit ‘naif’ undang-undang Australia, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang dibekukan akaunnya di Australia sudah memberi penjelasan dan yakin dengan kejujurannya.

zahid
Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin dengan penjelasan diberikan Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkenaan pembekuan akaun bank di Australia bernilai hampir RM1 juta.
PETALING JAYA:
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang berdepan masalah berkenaan akaunnya di Australia bernilai hampir RM1 juta sedikit “naif” mengenai undang-undang Australia, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid.

Bagaimanapun, timbalan perdana menteri berkata beliau yakin dengan penjelasan yang diberikan Najmuddin berhubung deposit wang yang dikhuatiri pihak berkuasa Australia sebagai berkait dengan korupsi dan pengubahan wang.

“Isu berkenaan pembiayaan wang berkenaan timbul pada 2016 lagi dan Wan Ahmad sudah memberi penjelasan kepada saya berkaitan perkara itu dan saya menerima penjelasan terbabit dengan yakin bahawa beliau adalah jujur,” kata Zahid dipetik Berita Harian.

“Cuma, beliau mungkin naif membabitkan undang-undang berkaitan penghantaran wang pembiayaan itu kerana walaupun wang itu diperoleh hasil jualan rumah, ia melebihi daripada jumlah yang dibenarkan kerajaan Australia iaitu hadnya adalah A$10,000,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Jumaat lalu, akhbar Sydney Morning Herald melaporkan polis Australia membekukan akaun bank milik Najmuddin, dengan simpanan sebanyak A$320,000 (RM970,000).

Polis Australia mengesyaki “kemasukan wang tunai mencurigakan” dalam akaun Bank Commonwealth milik Najmuddin, yang sudah lama tidak aktif selepas dibuka pada 2011.

Pendeposit tidak diketahui mengunjungi cawangan dan mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh negara itu, termasuk Queensland, Tasmania, Sydney dan Melbourne.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun membersihkan nama Najmuddin daripada sebarang salah laku pada 2016 berdasarkan dokumen membuktikan dana dalam akaun bank di Australia hasil daripada jualan rumah di Shah Alam.

“Najmuddin juga menyediakan alasan kukuh bagi keperluan memperoleh akaun luar negara, bagi membiayai pengajian anaknya di Australia.

“Oleh itu, adalah tidak berasas menganggap sumber wang itu mencurigakan atau menuduh Najmuddin terlibat dalam apa-apa bentuk kesalahan yang boleh didakwa,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan KPN Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memberitahu FMT, laporan akhbar Australia itu berdasarkan cerita lama dan pihak polis sudah menjalankan siasatan dalaman melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.

Sementara itu, Zahid berkata mana-mana pegawai polis akan melalui prosedur pengisytiharan harta mereka setiap tahun kepada kepemimpinan tertinggi.

“Ketua Polis Negara turut melakukan perkara sama kepada saya setiap tahun dan saya sendiri melakukan perkara sama kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

KPN: Dana Najmuddin di Australia hasil jualan rumah

RM1 juta dalam akaun bank Australia milik pegawai Bukit Aman dibekukan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.