NGO pendidikan kecam ahli politik diam diri kajian Unicef

NGO pendidikan kecam ahli politik diam diri kajian Unicef

Teach For The Needs (TFTN) berkata, kajian Unicef mengenai pembesaran terbantut kanak-kanak di Kuala Lumpur membimbangkan kerana bakal menjejaskan produktiviti negara dalam masa 30 tahun.

malaysia-kids-reuters (1)
Gambar Reuters
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan mengecam ahli politik mendiamkan diri berhubung kaji selidik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) mengenai pembesaran terbantut kanak-kanak di Kuala Lumpur.

Teach For The Needs (TFTN) berkata, tiada pihak berwajib yang memberi respons mahupun menjawab kaji selidik Unicef bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” yang dikeluarkan 26 Februari lalu.

“Ini termasuklah datuk bandar dan ahli politik, tidak ada seorang ‘Yang Berhormat’ sama ada dari pihak kerajaan atau pihak pembangkang memberi respons secara serius, terutama ahli Parlimen yang mewakili kawasan rumah-rumah pangsa di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 Februari lalu, kaji selidik Unicef bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” mendapati 1 dalam 5 kanak-kanak di ibu negara mengalami pertumbuhan terbantut, manakala 1 dalam 10 orang kurang berat badan.

Kajian melibatkan 966 ketua isu rumah dan 2,142 kanak-kanak di 17 lokasi berbeza di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dari 20 Ogos hingga 30 September 2017 menunjukkan masalah kurang berat badan, terbantut dan kurus kering yang berleluasa di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun adalah 2 kali ganda lebih banyak berbanding purata Kuala Lumpur.

Manakala masalah berat badan berlebihan pula hampir 6 kali ganda (23%) daripada purata Kuala Lumpur (4%).

Menurut Unicef, berbanding negara yang mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita sama dengan Malaysia, berat badan di kalangan kanak-kanak Malaysia secara perbandingannya adalah tinggi.

“Misalnya hampir 13% kanak-kanak kita yang berusia 5-19 tahun adalah obes (gemuk) dan peratusan ini lebih tinggi daripada Hungary (11), Turki (10%) dan Poland (9%).

“Peratusan kanak-kanak kita yang terbantut pula lebih teruk (20.7%) daripada Ghana (18.8%) walaupun KDNK per kapita Malaysia 6 kali lebih tinggi.

“Di Putrajaya, 1 dalam 4 kanak-kanak terbantut, menjadikannya ‘lebih tinggi daripada purata kebangsaan’, manakala di Kelantan, masalah pembesaran terbantut mencapai 34%, lebih teruk daripada kanak-kanak di negara berpendapatan rendah seperti Zimbabwe (27.6%) dan Swaziland (25.5%).”

TFTN berkata, hasil kaji selidik itu membimbangkan kerana bakal menjejaskan produktiviti negara dalam masa 30 tahun.

Kumpulan itu turut menggesa semua pihak mengetepikan ideologi dan perbezaan politik untuk bekerjasama mencari jalan penyelesaian, bukannya membiarkan isu itu menjadi tajuk perbincangan di media sosial semata-mata.

TFTN juga meminta rakyat memberi tekanan kepada majikan untuk meningkatkan kadar gaji minimum, mendesak kerajaan mengenakan cukai lebih tinggi kepada korporat serta berhenti mengurangkan bajet kesihatan dan pendidikan.

“…menghukum ahli politik yang tidak serius membela anak-anak miskin dan generasi muda kita yang terdedah kepada ketidaksamarataan ekonomi yang meruncing hari ini.”

Terlalu gemuk, kurus kering meningkat di kalangan kanak-kanak Malaysia, kata Unicef

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.