Anwar semakin pulih, dibenar kembali ke Hospital Rehabilitasi Cheras

Anwar semakin pulih, dibenar kembali ke Hospital Rehabilitasi Cheras

Ketua umum PKR itu kembali ke Hospital Rehabilitasi di Cheras untuk terus dipantau doktor dan menjalani fisioterapi untuk membaik pulih bahu kanannya.

anwar_hospital
PETALING JAYA:
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi tadi, kini kembali ke Hospital Rehabilitasi Cheras untuk meneruskan fisioterapi bagi bahu kanannya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata Anwar semakin pulih selepas dimasukkan ke CCU pagi tadi, susulan reaksi negatif daripada suntikan steroid di sekitar bahu kanannya kelmarin.

“PKR dimaklumkan Anwar semakin pulih. Doktor-doktor juga mengesahkan beliau dibenarkan keluar dari CCU Hospital Kuala Lumpur.

“Anwar kini kembali ke Hospital Rehabilitasi di Cheras untuk terus dipantau doktor serta meneruskan fisioterapi untuk membaik pulih bahu kanan beliau,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Anwar dimasukkan ke CCU HKL susulan rawatan steroid yang menyebabkan reaksi negatif, hingga menyebabkan kadar denyutan jantungnya rendah.

Suntikan steroid itu diberi Sabtu lalu setelah Anwar mengalami sakit berpanjangan pada bahu kanan selepas pembedahaan beberapa bulan lalu.

Anwar, 70, menjalani pembedahan di bahu kanannya November lalu.

Ketua umum PKR itu yang akan dibebaskan daripada hukuman penjara Jun ini mengalami kecederaan kecil di bahagian bahunya pada 22 September 2017, apabila kenderaan Jabatan Penjara yang membawanya pulang ke Penjara Sungai Buloh terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kemalangan tersebut dikatakan memburukkan kecederaan lama bekas ketua pembangkang itu di bahu kanan, leher dan pinggangnya.

Anwar dimasukkan ke unit jantung HKL

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.