Identiti lelaki ditembak di Tawau tidak pernah didedah

Identiti lelaki ditembak di Tawau tidak pernah didedah

Esscom merujuk laporan berita The Star bertajuk 'Abu Sayyaf Leader Shot Dead in Tawau', diulang siar media asing cetuskan kegusaran kepada pelancong.

Hazani-esszone
LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tidak pernah mendedahkan atau menyebut identiti penjenayah ditembak mati di kawasan Kalabakan, Tawau pada Selasa lepas dan perkara itu masih dalam siasatan.

Komander Esscom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata merujuk kepada kenyataan laporan portal berita The Star pada 1 Mac bertajuk “Abu Sayyaf Leader Shot Dead in Tawau” dan diulang siar media asing mencetuskan kegusaran kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk melancong ke kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Pihak kami amat terkilan dan kesal dengan perkara tersebut, disebabkan siasatan pihak keselamatan masih berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, perkara itu menjejaskan keseluruhan operasi pasukan keselamatan mengesan suspek dan senjata terlibat serta sesiapa berkaitan suspek dan kumpulannya.

Susulan itu juga, Hazani berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu atau pihak mendedahkan (menyalurkan maklumat) bagi tindakan perundangan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan pihak media mengesahkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang maklumat diterima sebelum dihebahkan kepada masyarakat bagi tujuan mengekalkan integriti kepentingan keselamatan dan kerahsiaan operasi.

Dalam pada itu, Hazani mengulangi saranan kepada penduduk di Esszone supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak keselamatan jika melihat aktiviti mencurigakan dan menjurus kepada jenayah.

Selasa lepas, 3 lelaki dipercayai daripada kumpulan penjenayah terancang ditembak mati polis di kawasan ladang di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau di Tawau kira-kira pukul 3.20 petang.

Dipercayai kumpulan pengganas terancang, 3 ditembak mati di Tawau

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.