
Kapal layar itu disita di Bali, semalam susulan siasatan rasuah berbilion dolar yang dilancarkan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dan dikaitkan dengan 1MDB.
Polis menyita kapal layar, Equanimity selepas menerima surat daripada Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI), pada 21 Februari lalu yang meminta bantuan menguatkuasakan perintah mahkamah, kata jurucakap Polis Indonesia, Muhammad Iqbal Abduh.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, polis menyoal siasat kapten dan kru kapal itu, serta akan meneliti dokumen imigresen dan melihat jika ada sebarang bukti jenayah.
Memetik maklumat diberikan FBI, beliau berkata, Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal layar itu dimatikan beberapa kali di perairan sekitar Filipina dan Singapura.
AIS menggunakan satelit untuk menentukan lokasi dan mematikannya akan menyebabkan kapal layar itu sukar dikesan.
Sejak 180 hari lalu, Equanimity belayar dari timur laut ke barat laut Malaysia serta Singapura, kemudian dari Bali di Indonesia ke Papua dan kembali semula, menurut data perkapalan Thomson Reuters Eikon.
Bagaimanapun, ada beberapa pergerakan yang tidak jelas.
1MDB sedang disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura atas dakwaan pengubahan wang.
Sebanyak AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka, menurut saman sivil difailkan DoJ pada 2016 dan 2017.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan pernah menjadi pengerusi lembaga penasihatnya. Beliau dan dana itu menafikan sebarang salah laku.
Ogos lalu, DoJ meminta penangguhan saman sivilnya bagi merampas aset lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB kerana sedang menjalankan siasatan jenayah ke atas syarikat pelaburan strategik Malaysia itu.
Antara aset dikehendaki ialah sebuah kapal layar mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli pembiaya Malaysia, Low Taek Jho, yang dinamakan sebagai orang penting dalam saman AS itu.
Menurut saman itu, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk membeli Equanimity, kapal layar sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
Pengarah jenayah khas dan ekonomi di Biro Penyiasatan Jenayah Indonesia berkata, mereka tidak mencari Low.
“Kami mempunyai kewajipan untuk mencari semua yang dikehendaki atau (sesiapa sahaja) dalam senarai itu, termasuk dalam notis merah Interpol. Tetapi, saya tidak nampak nama itu,” kata Agung Setya kepada Reuters.
Kedudukan Low tidak diketahui dan syarikat Hong Kongnya tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Jurucakap Low dalam satu kenyataan semalam berkata, ia “mengecewakan kerana daripada mencerminkan dakwaan bermotifkan politik dan amat cacat, DoJ meneruskan corak melampaui batas kemampuan global – semuanya berdasarkan dakwaan salah laku tanpa sokongan sepenuhnya.”