Lelaki ditahan cuba rompak bank kerana belum dapat BR1M

Lelaki ditahan cuba rompak bank kerana belum dapat BR1M

Lelaki dipercayai kurang siuman itu mengacukan pistol mainan sambil memarahi kakitangan bank, selepas mendapati bayaran BR1M belum dimasukkan ke akaunnya.

handcuff-reuters
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman ditahan ketika cuba merompak sebuah bank menggunakan pistol mainan kerana berang belum menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Harian Metro melaporkan kejadian itu berlaku di sebuah bank di Rantau, Seremban, pada 1 tengah hari kelmarin.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, suspek berusia 37 tahun itu memarahi kakitangan di kaunter bank kerana berang duit BR1M belum dimasukkan ke akaunnya.

“Tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan pistol menyebabkan kakitangan dan pelanggan bank ketakutan. Dia kemudian memberitahu bukan mahu mengganggu kakitangan bank, sebaliknya hanya mahukan RM3,000.”

Sumber itu berkata, kakitangan di kaunter itu menghubungi polis selepas menipu suspek yang beliau ke bilik belakang untuk mengambil wang.

“Sebaik bergegas ke bilik itu, kakitangan itu menekan butang panik lalu menghubungi polis. Tidak lama kemudian, beberapa pelanggan bank turut menangkap lelaki itu sebelum menyerahkannya kepada polis.”

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh dipetik akhbar itu, berkata suspek dibawa ke Balai Polis Rantau, sebelum ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Sesyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.

Pengagihan BR1M tahun ini dibuat menerusi 3 fasa, dengan bayaran pertama bermula Isnin lalu, manakala fasa ke-2 dan ke-3 pada Jun dan Ogos nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.