
Organisation for National Empowerment (ONE), pertubuhan di sebalik kempen #ForwardTogether, berkata daripada menggalakkan golongan muda merosakkan undi, gerakan #UndiRosak sepatutnya membantu belia menentukan masa depan mereka dengan menghargai nilai undi mereka.
“Marilah kita bekerjasama, kerana tiada kebaikan terhasil dari tindakan negatif, dan kemajuan menuntut kita berfikiran positif.
Semalam, aktivis #UndiRosak Maryam Lee berkata kumpulannya menyedari kebolehan calon kedua-dua pihak pembangkang dan pemerintah dan memilih untuk tidak menyokong mana-mana parti.
“Kami akan keluar mengundi tetapi kerana kami tidak setuju dengan kedua-dua pihak, kami akan rosakkan undi,” katanya sambil menambah, #ForwardTogether patut menumpukan perhatian mewujudkan kesedaran dalam dalangan mereka yang tidak ambil tahu berkenaan politik.
Bagaimanapun, #ForwardTogether berkata #UndiRosak salah faham dengan apa yang dibawa mereka.
“Kami bukan mahu bermusuhan dengan mana-mana pihak dalam kempen ini, sebaliknya kami hanya mahu menawarkan perspektif berbeza kepada anak muda.
“Bagaimana kita mewujudkan impak dengan mengundi? Tegaskan kepada parti bertanding di dalam pilihanraya, mereka hanya mendapat undi sekiranya dapat menunjukkan bagaimana mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Bukankah ini memberikan kesan lebih positif dalam membina masa depan kita?”
#ForwardTogether berkata ianya tentang mengajak orang ramai sama-sama berpandangan jauh terhadap pembangunan negara menerusi pelbagai saluran seperti mengundi, kerja amal, pendidikan, seni dan budaya, dan juga sukan.
“Dalam konteks PRU14, kami menyeru anak muda mengundi berdasarkan nilai-nilai positif.”
Bagaimanapun, mereka mengakui penyokong gerakan #UndiRosak berhak merosakkan undi mereka.
“Kami berharap mereka sedar, tidak memilih sama sahaja seperti tidak mahu mengambil bahagian dalam membentuk masa hadapan mereka.”
“Semua rakyat Malaysia mempunyai kepentingan langsung di negara. Jadi, tugas kita semua untuk memaklumkan dan mendidik tentang kepentingan mengambil bahagian dalam sistem demokrasi di Malaysia dengan cara betul, bukannya merosakkan undi.”