Pemimpin PH: Buat kajian sebelum pilih 1 logo elak jejas faktor menang

Pemimpin PH: Buat kajian sebelum pilih 1 logo elak jejas faktor menang

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mencadangkan PH membuat kajian mendalam serta menyeluruh bagi mengelakkan ia menjejaskan faktor kemenangan gabungan 4 parti komponen itu.

Zuraida-Kamaruddin_facebook
Gambar Facebook
PETALING JAYA:
Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) menasihatkan gabungan itu menjalankan kajian mendalam, sebelum memilih lambang salah sebuah parti komponennya yang boleh mempengaruhi faktor kemenangan mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata PH tidak seharusnya terburu-buru memuktamadkan logo parti mana yang perlu digunakan tanpa kajian mendalam bagi mengelakkan ia memberi kesan tidak baik untuk menang.

“Kita kena bincang di peringkat parti masing-masing dulu dan serahkan kepada PH untuk membuat keputusan terbaik kerana saya berpendapat ada buruk baiknya bila guna satu logo. Kalau saya kata paling sesuai PKR, nanti yang lain tak setuju. Pada saya, kita kena melumatkanya secara mendalam.

“Keputusan itu tidak boleh dibuat secara terburu-buru, itu mungkin cadangan yang dikeluarkan semalam yang belum dihadam dan dilumatkan, jadi saya harap ianya harus dibuat satu analisa untuk (tentukan) parti mana sesuai untuk menang,” katanya kepada FMT hari ini.

Zuraida yang juga setiausaha PH Selangor berkata, penggunaan logo PPBM atau Amanah juga perlu dikaji secara mendalam kerana 2 parti itu masih baharu dan kurang dikenali rakyat berbanding DAP serta PKR.

“Dalam 4 parti ini, antara DAP dan PKR sahaja paling lama, Amanah dan PPBM parti baharu. Jadi, kalau PH nak (guna logo) parti baharu itu mengambil masa. PKR sendiri mengambil masa dalam 10 tahun baru orang dapat terima.

“Begitu juga untuk satu logo baru (logo PH) yang juga satu masalah sebab pengundi Malaysia ada satu trend di mana logo baharu itu kurang dikenali, jadi susah untuk mendapatkan undi memandangkan kita akan berdepan 3 penjuru antara BN, PAS dan wakil PH. Jadi, kita kena fikir dahulu.”

Semalam, Pengerusi PH dan PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata gabungan itu akan menggunakan lambang salah satu parti komponen, jika JPPM tidak meluluskan permohonan pendaftaran gabungan 4 parti pembangkang itu.

“Semua parti bersedia membenarkan lambang mereka digunakan, kecuali jika JPPM bermurah hati…takut pada kami kerana mereka belum beri kelulusan,” kata calon perdana menteri PH itu semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata parti itu akur dengan apa juga keputusan PH, jika logo parti itu tidak terpilih.

“Kita harus terbuka untuk membuat kajian menyeluruh dan memikirkan faktor-faktor kemenangan, bukannya pada tahap ini kita begitu sentimental dengan parti masing-masing.

“Bagi saya, sekarang ini lambang parti mana yang lebih diterima rakyat…asalkan mereka boleh memilih PH dan menolak BN itu yang penting. Ini masa untuk kita memudahkan rakyat.”

Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata isu itu tidak perlu dibincang secara terbuka kerana mungkin timbul sensitiviti dalam kalangan penyokong PH.

“Tidak perlu dibincang secara terbuka, kita tidak mahu ‘provoke’ sensitiviti di kalangan kita dan perlu bincang secara tertutup.”

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, berkata parti itu akan menyokong keputusan PH.

“Setakat ini, kita ikut keputusan yang dibuat semalam dan keputusan semalam itulah keputusan kami,” kata pengerusi DAP Negeri Sembilan itu.

Dr M: PH guna 1 lambang tak kira JPPM lulus atau tidak

PH akan guna lambang PPBM atau PKR, kata penganalisis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.